Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mengambil kesempatan menjunjung kasih atas Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan juga memohon maaf kepada Tuan Yang di-Pertua kerana tidak menghadirkan diri seperti mana yang telah saya jelaskan kerana saya tergendala di Doha.
Saya juga meneliti Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan saya ingin
merujuk pertamanya pada perenggan 21 mengenai keluhuran Perlembagaan. Ini satu isu yang penting kerana setelah setengah abad merdeka Tuanku Agong masih merasakan perlu untuk mengulangi keperluan menggesa rakyat supaya memahami semula semangat Perlembagaan.
Ada yang pernah menyebut seperti mana yang disebut Yang Berhormat Menteri pagi tadi bahawa Perlembagaan kita itu tidak ada mukadimah atau preamble.
Saya ingin membacakan preamble dalam pemasyhuran Perlembagaan yang disebut oleh, dibacakan, diisytiharkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1997, “Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang berperlembagaan, berdasarkan demokrasi cara Parlimen.”
Tuan Yang di-Pertua, tiga perkara utama yang menjadi asas kepada pemasyhuran Perlembagaan adalah keutamaan Raja-Raja Melayu, hak asasi dan kebebasan rakyat serta sebuah negara aman makmur yang mengamalkan sistem demokrasi dan Raja Perlembagaan.
Perkara ini diungkit kerana mutakhir ini perkataan derhaka diulang, dilaung-laungkan dan sebahagiannya oleh rakan-rakan saya di sebelah sana. Saya faham kalau agenda itu politik biasa tetapi isu ini, isu yang berkaitan dengan Perlembagaan dengan pendirian saya sebagai anak Melayu dan jiwa saya jiwa Melayu dan warga Malaysia.
Saya tahu mereka menggunakan media selain daripada Utusan Malaysia dan TV3 yang menjadikan isu derhaka isu besar dan menuduh saya di antara penderhaka.
Saya hendak gunakan kesempatan ini Tuan Yang di-Pertua, untuk menjelaskan apa maksud institusi diraja dalam sejarah Melayu kerana tidak ramai yang melaung-laungkan dan uar-uarkan itu sebenarnya faham budaya dan sejarah mereka sendiri dan sebahagianya kerana tidak mampu bertarung berdepan sebagai pahlawan pendekar dalam parti. Mereka terpaksa berselindung di bawah istana yang mereka hina dan remehkan sebelumnya.
Sejarah UMNO ditubuhkan itu sejarah yang mempertahankan institusi Raja. Saya tidak nafikan tetapi sejak 80-an kekuatan dan kuasa terhakis besar. Dalam ucapan 18 Januari 1993 di Dewan ini, Perdana Menteri ketika itu menyebut;
“Oleh itu lahirlah pendapat bahawa Raja perlu diletak di bawah satu Perlembagaan yang menentukan kedudukan dan peranan Raja dengan cara ini raja tidak boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya. Kuasa Raja akan ditentukan oleh Perlembagaan iaitu undang-undang asas negara. Namun ada Raja yang sanggup menyerahkan negara diri sendiri kepada kuasa asing tanpa menghiraukan Perlembagaan.”
Apakah kenyataan dan ayat terakhir itu tidak menghina Raja di Institusi Raja? Benar, ada yang ditelah oleh rakan-rakan di sebelah sana. Saya pada ketika itu seorang Menteri dan memang saya konsisten untuk menyokong langkah-langkah yang mengikat semua institusi supaya tunduk kepada Perlembagaan tetapi maksud kita mendukung seperti mana yang telah saya jelaskan kepada Almarhum Tuanku Yang di-Pertuan Agong sendiri kepada ketika itu dan beliau menziarahi saya setelah saya menjalani pembedahan di Munich. Saya mengulangi pendirian saya. Kita menyokong Tuanku pindaan itu dengan maksud kuasa hanya mempertahankan kuasa Raja mengikut Perlembagaan dan selebihnya itu kuasa dipulangkan kepada rakyat.
Bukan apa yang berlaku iaitu kuasa yang diambil dari Yang di-Pertuan Agong dan Raja- Raja dipulangkan kepada penguasa pemimpin-pemimpin negara yang boleh bertindak lebih rakus dalam sejarah.
Saudara bagi orang yang menjana dan mencanang soal raja dan derhaka, rujuk semula sejarah Melayu, himbau semula kisah si Kitol celaka itu dan rakan konspirasinya, Raja Mendaliar yang tercatat dalam teks klasik Sejarah Melayu. Akibat hasutan dan fitnah si Kitol, dengan kekayaan melimpah Raja Mendaliar, Laksamana akhirnya termakan umpan lalu menyampaikan kepada Sultan bahawa Bendahara menderhaka. Fitnah bahawa Bendahara itu menderhaka dipersembahkan dan Sultan mengambil keputusan membunuh Bendahara dan seisi keluarga kecuali Tun Fatimah.
Tuan Yang di-Pertua rekayasa cerita ini adalah sama dikaitkan dengan apa yang berlaku di Perak Darul Ridzuan. Muncul kembali si Kitol dan Raja Mendaliar moden, ada yang terang ada yang berselindung dan media menghebahkannya. Ada peluang untuk orang berkarier seperti saya menjelaskan Tuan Yang di-Pertua, pagi ini ada arahan ulangan dalam RTM, jangan siar satu perkataan atau satu minit foto. Saya tidak hirau, 11 tahun saya alami ini lebih parah dari sekarang. Sekurang-kurangnya saya diberi ruang berbicara depan Tuan Yang di-Pertua tetapi jangan kita anggap rakyat boleh mudah dihina dan diperbodohkan.
Retorik derhaka, derhaka, derhaka itu hanya untuk melindungi pekung rasuah jenayah yang dilakukan dan derhaka itu tidak ada maknanya. Sekarang konon-kononnya orang yang
meraut, mengaut kekayaan berbilion ringgit menjadi pejuang, yang miskin kerdil menjadi penderhaka. Sejak bila Sejarah Melayu mengajar kita begitu?
Saya sentuh pindaan Perlembagaan sebelum ini dan ada kalau di kalangan Ahli-ahli
Parlimen muda kerana yang lain seperti mana yang kita tahu selain daripada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, tidak ada kebiasaan tidak ada tradisi, tidak mendengar hujah. Menteri datang untuk berucap, tinggalkan sidang. Apa ingat ini semua pendengar-pendengar dan tidak punyai kekuatan untuk berhujah. Apa tradisi dan budaya untuk kita kekalkan? Mereka akan bicara kemudian ulang derhaka.
Pengulasan itu tidak ada, memang ada rakan-rakan saya sebahagiannya dari backbenchers yang mendengar tetapi ini budaya yang tidak boleh dipertahankan. Apa semuanya sibuk ketika ini? Jadi tidak mahu langsung hargai hujah yang dibawa.
Jadi Tuan Yang di-Pertua saya tidak mahu ulang apa yang berlaku 1993 dan pindaan
yang berikutnya kerana UMNO pada ketika itu telah meminta di antara lain mulanya
dipengerusikan oleh panel yang diketuai oleh Tun Ghaffar Baba termasuk saya dan kemudian akhirnya dalam membincangkan dengan Raja-Raja, saya yang diminta dan ditugaskan berbicara akhir dalam beberapa pertemuan dengan Tuanku Sultan Azlan Shah selaku Yang di-Pertuan Agong. Saya faham benar dan saya cuba meleraikan ketegangan itu dengan memberikan usul supaya dapat diperkenankan Tuanku.
Tuan Yang di-Pertua bila bangkit umpamanya oleh Yang Berhormat Bukit Gelugor
kerana Yang Berhormat bagi Bukit Gelugor membuat kenyataan mencadangkan untuk
menyaman Tuanku.
Saya berpendapat saman itu perlu terhadap kerajaan negeri yang kita anggap tidak sah
tetapi tidak perlu kepada Tuanku. Yang Berhormat Bukit Gelugor memilih untuk menegur saya dan ini dijadikan isu besar oleh Yang Berhormat Batu Pahat kerana dalam tradisi UMNO dan budaya, Perdana Menteri tidak boleh ditegur. Akan tetapi dalam budaya kita, saya ditegur agak garang juga oleh singa Bukit Gelugor ini tetapi saya anggap sebagai teguran yang baik, saya boleh bekerja dan tidak ada masalah bagi saya. Kita tidak boleh anggap parti di dalam Pakatan Rakyat ini, dalam kesepakatan ini seperti mana budaya dalam UMNO dan Barisan Nasional.
Apa yang diperintah oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri itu macam
fatwa nabi semuanya. Itu sebabnya jadi rosak, punah, tidak berani bangun untuk membuat teguran. Jadi oleh yang demikian, saya hendak sebut sementara saya berbeza pendapat dengan Yang Berhormat Bukit Gelugor mengenai soal menyaman Tuanku, saya menentang keras percubaan menghina beliau, hak beliau dan mengugut beliau untuk menangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Inikah cara kita berunding? Kita tidak setuju, bangun, hujah macam Yang Berhormat Pasir Salak hendak lakukan.
Sila Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya bersimpati dengan Yang Berhormat Permatang Pauh dengan perasaan yang begitu marah dan geram kerana beliau sekarang dalam situasi tertekan dan ditekan. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang disuarakan oleh Yang Berhormat, biar kita berbicara secara rasional dan secara berhemah.
Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Permatang Pauh, adakah Yang Berhormat menganggap bahawa untuk mempertahankan hak-hak Perlembagaan, maka ianya perlu dilakukan tindakan biadab seperti yang berlaku di depan istana Tuanku tempoh hari. Di mana maki hamun, bukan sahaja terhadap orang ramai seperti saya yang hina ini tetapi juga kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Raja Muda Perak. Bawa perkara ini ke mahkamah, tidak ada hal, kalau ada peruntukan-peruntukan yang dipercayai bahawa ada peruntukan Perlembagaan, perundangan yang boleh menjadi hujah kepada pihak Pakatan Rakyat, silakan. Tidak perlu untuk menjerit, mengadakan demonstrasi, mengacau keselamatan, memaki hamun, mencampuradukkan ayat Quran, ayat Allah SWT dengan maki hamun, tidak perlu, tidak perlu ini
Yang Berhormat!
Saya tidak menafikan hak-hak Yang Berhormat Ketua Pembangkang dan rakan-rakan penyokong beliau untuk menuntut keadilan, menegakkan kebenaran, itu di pihak Yang Berhormat. Yang Berhormat kena fikir di pihak Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dia ada hak-hak dia. Di sini saya ada bawa Perlembagaan, Perlembagaan Perak, The Constitution of The State of Perak, saya ada bawa Perlembagaan Malaysia. Memang ada interpretasi masing-masing, peguam pihak sana mempunyai interpretasi yang sedemikian. Bagi pihak istana, Tuanku mempunyai interpretasi beliau. Jadi biarlah mahkamah yang memutuskan.
Kalau mengikut interpretasi yang ada, saya juga merujuk kepada lawyer-lawyer atau peguam-peguam yang boleh kita pakai, yang independent, yang neutral dari segi politik. Mereka mengatakan hak Tuanku ada dua yang mutlak, ini dalam Perlembagaan.
Pertamanya, melantik Menteri Besar, ini ada dalam Perlembagaan. Yang kedua, sama ada hendak membubarkan Parlimen atau tidak, juga hak mutlak Tuanku. Jadi ini kalau hendak dipertikaikan, bawa kemahkamah, tidak perlu menjerit, tidak perlu maki hamun supaya kita boleh hidup dalam satu demokrasi yang dikatakan berhemah. Terima kasih.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Pasir Salak. Saya menyambut baik penjelasan Yang Berhormat Pasir Salak untuk memberikan ruang kepada kita menjawab dan juga menghadapkan kes ini ke mahkamah. Akan tetapi, Yang Berhormat Pasir Salak juga tahu di antara sebab kita dihina kerana kes ini dibawa ke mahkamah oleh sahabat-sahabat Yang Berhormat Pasir Salak.
Kalau Yang Berhormat Pasir Salak mengatakan ada ruang, saya setuju dan soal Perlembagaan, saya pun ada bawa Perlembagaan. Bukan setakat itu, saya hendak ingatkan Yang Berhormat Pasir Salak, Yang Berhormat Pasir Salak mungkin tahu bahawa di peringkat akhir rundingan masalah Institusi Raja, pindaan Perlembagaan, etika Raja, itu saya yang merundingkan bagi pihak UMNO dengan Tuanku Raja Azlan Shah pada ketika itu.
Jadi saya bukan hendak berbahas soal itu. Dalam isu ini, seperti mana yang dibawa oleh Dato’ Seri Nizar berulang kali ialah mengambil daripada buku Governance Constitution Monarchy yang ditulis oleh Paduka Seri Sultan Perak yang kebetulan dikirim kepada saya semasa saya di penjara. Di antara lain menyebut tentang Constitution of Monarchy Rule of Law and Good Governance, dengan izin ‘under normal circumstances, it is taken for granted that the Yang di-Pertuan Agong would not withhold his consent to a request for dissolution of Parliament. His role is purely formal’.
Ini hujah Paduka Seri Sultan Perak yang kita gunakan, apa yang derhakanya? Kalau Yang Berhormat Pasir Salak menyebut ada orang yang menghina ataupun maki hamun, saya setuju dengan Yang Berhormat Pasir Salak. Akan tetapi mengapa ditujukan kepada sebahagian orang yang marah pada ketika itu di Kuala Kangsar, saya setuju kita patut tegur.
Tuan Yang di-Pertua, mengapa kita tidak tegur bila Ahli-ahli UMNO di Terengganu menghina Yang di-Pertuan Agong dengan istilah yang paling kesat yang dipamerkan dalam akhbar. Dan lebih daripada hina kerana istilahnya itu istilah yang cukup kesat yang saya tidak mahu ulang di sini. Kalau pendekatan yang digunakan itu konsisten, kita guna cara konsisten dan saya ingin menyebut di sini bahawa saya tidak bersetuju apa juga cara maki hamun atau menghina kerana institusi Raja itu harus dipertahankan.
Dan bukan setakat itu, di Dewan yang mulia ini Tuan Yang di-Pertua, Tuan Yang di-Pertua masih ingat kenapa saya berpendapat isu imuniti kekebalan itu boleh dipertahankan yang telah dimusnahkan, dipinda oleh UMNO dan saya anggap satu hal yang salah yang harus diperbetulkan. Akan tetapi ia juga tertakluk kepada peraturan-peraturan, kita berpegang kepada prinsip iaitu Raja tidak melakukan kesalahan selagi mana dia berada di dalam parameter atau sempadan undang-undang dengan izin, ‘but kings that could do no wrong or that could not wrong because their power was circumscribed by laws’. ‘Raja tidak melakukan kesalahan kerana kuasa mereka terikat dengan undang-undang’, kata Bernard Mandeville dalam The Grumbling Hive.
Tuan Nasharudin Mat Isa [Bachok]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh tadi perbezaan pendapat kita bukan dengan hal yang berkaitan dengan ingin
menyaman Tuanku. Walaupun kita ada perbezaan pandangan dan pendapat tetapi apa yang berlaku di negeri Perak tidaklah sampai kepada peringkat kita menabalkan seorang Raja baru.
Bolehkah Yang Berhormat Permatang Pauh bersetuju dengan saya bahawa pemimpin UMNO pernah terlibat dalam menabalkan seorang Sultan baru sehingga kepada peringkat mencemar institusi Raja. Terima kasih.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, kita boleh bawa rentetan peristiwa tentang apa yang dilakukan, bukan sahaja yang dianggap dari sudut yang dikaitkan dengan Perlembagaan dan undang-undang tetapi penghinaan yang jelas yang mengakibatkan pindaan Perlembagaan yang besar dan ucapan rasmi di Dewan yang jelas dan nyata menghina institusi dan kedudukan Raja-Raja.
Saya hendak sambung Tuan Yang di-Pertua kerana Institusi Raja ini dikaitkan dengan sejarah dan budaya Melayu. Maka oleh yang demikian, kitab-kitab klasik yang berkaitan harus disingkap semula. Di antara lain Bukhari Al-Jauhari yang menulis di Acheh di terbit di sekitar 1603, berjudul ‘Tajul Salatin Mahkota Segala Raja’.
Kata Bukhari Al-Jauhari, “Sesungguhnya Allah Taala menitahkan akan adil dan ihsan dan barang siapa daripada Raja-Raja yang tiada dua peri ini pada-Nya tiada dapat dibilang Raja adanya”. Ini orang yang menasihati Raja. Orang yang menasihati Raja itu mengingatkan Raja-Raja. Apakah kenyataan ini kenyataan derhaka? Tidak.
Kenyataan ini tercerna dari perasaan kasih untuk mempertahankan Institusi Raja bukan untuk mendukung semua keterlanjuran. Ada kupasan-kupasan lain yang saya tidak singkap di sini dan saya akan edarkan. Akan tetapi saya nak rujuk semula kepada kitab atau sejarah kitab klasik yang sangat penting bagi kita orang Melayu dan rakyat Malaysia iaitu Hikayat Hang Tuah - Bab 15. Saya faham Tuan Yang di-Pertua arif tentang Hikayat Hang Tuah ini iaitu bila Bendahara Paduka Raja bertindak menyalahi keputusan Sultan Melaka ketika itu. Bendahara ini orang taat. Dia tahu apa yang berlaku sebelumnya dengan kisah Hang Jebat yang dianggap si penderhaka.
Sekarang sebelumnya maaf, Hang Tuah dititah oleh Tuanku Sultan untuk dibunuh. Bendahara memutuskan untuk tidak membunuh Tun Tuah dan sembunyikan Tuan Tuah di Hulu Melaka. Ini yang dikatakan Bendahara pintar. Bendahara yang dalam sejarah Hang Tuah dianggap bijaksana. Masjid Tanah dia tahu dia orang Melaka. Derhaka Bendahara Paduka Raja derhaka. Akan tetapi derhaka Bendahara Raja sebab itu disebut ‘Ampun Tuanku, sembah derhaka patik sembahkan’. Itu dibolehkan Yang Berhormat Pasir Salak bukan maknanya derhaka ini semua tidak boleh. Ini orang yang jerit derhaka tidak faham istilah bahasa. Ini masalahnya dalam UMNO ini, dia tidak faham. Derhaka ini salah semua. Tak betul.
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tak reti bahasa.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ha betul. Terima kasih.
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tak reti Melayu.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: [Bangun]
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Derhaka Bendahara Paduka Raja bukan derhaka Hang Jebat malah sikap Mamanda Menteri itu menyelamatkan keadaan umpamanya dalam karya klasik Melayu Hang Tuah itu pembentuk peribadi dan kebudayaan kita, kemahiran pelbagai bahasa, penampilan tokoh berani dan handal, taat dan bijak. Jadi membaca karya itu
menambahkan rasa kagum kita kepada apa yang ditonjolkan sebagai tokoh dan pahlawan Melayu sejati. Akan tetapi saya nak sebut tentang derhaka Bendahara Paduka Raja yang memilih untuk menyelamatkan Tun Tuah di Hulu Melaka. Saya tidak tahu di Hulu Melaka di mana? Dekat Masjid Tanah saya kira.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Minta laluan sikit. Sikit lagi. Sekali lagi. Saya rasa cerita Hang Tuah dan sebagainya itu tadi tidak perlu dalam konteks yang kita hadapi sekarang ini. Saya nak tanya kepada Yang Berhormat. Dalam satu perhimpunan merayakan kemenangan Parti Pembangkang di Perak iaitu di stadium. Di mana semua pemimpin-pemimpin besar Pakatan telah turut hadir dengan ribuan penyokong. Ada beberapa pemimpin daripada DAP berucap dengan begitu lantang dan berani sekali dan melaungkan kata-kata bahawa sudah berakhirnya ketuanan Melayu dan bermulanya ketuanan rakyat.
Memang kalau secara literalnya ditafsirkan rakyat itu yang lebih berkuasa. Merekalah yang menjadi tuan kononnya. Akan tetapi dalam satu Sistem Raja Berperlembagaan pemerintah ketua kerajaan ialah Raja, Sultan, Agong dan memberi erti bahawa di situ orang ramai sudah merasakan bahawa Pakatan membawa satu perjuangan untuk menghapuskan kedudukan dan kuasa Sultan serta mengangkat rakyat lebih mengatasi Raja-raja. Ini telah dibuktikan untuk pengetahuan Yang Berhormat Permatang Pauh dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri di Perak.
Exco Pakatan membuat kenyataan-kenyataan khususnya Exco daripada DAP yang memperlekeh dan menghina Sultan-sultan. Apa ada pada kuasa Sultan? Apa peduli pada Sultan? Kita yang berkuasa sekarang? Keangkuhan ditunjukkan oleh mereka dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri. Ini betul. Jadi saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat Permatang Pauh bukankah ini tanda-tanda menunjukkan penderhakaan sudah dilihat bibit-bibitnya?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Pasir Salak, ini kalau disebut ketuanan Melayu dan ketuanan rakyat saya pun sebut itu. Bila saya sebut ketuanan rakyat mengapa kita sebut ketuanan rakyat itu kita menghina Raja tidak. Raja Melayu itu Raja rakyat Malaysia bukan Raja orang Melayu. Saya iktiraf Raja itu Raja Melayu tetapi Raja Melayu itu berdaulat atas takhta pelindung rakyat Malaysia semuanya. Ini kita terima dan iktiraf baik dalam Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat walaupun dalam kempen UMNO tidak disebut begitu. Akan tetapi saya ada bukti dan yang ditandatangani bersama tentang mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu oleh Parti Keadilan, DAP dan PAS. Jadi oleh yang demikian kita lihat kepada kenyataannya. Yang Berhormat Pasir Salak menyebut yang dirundingkan secara tertutup oleh Majlis Kerajaan Negeri.
Saya tidak tahu. Kalau benar ada penghinaan itu harus dibetulkan tetapi itu hanya tafsiran. Saya boleh sebut puluhan kali kisah penghinaan terhadap Raja-raja dalam Mesyuarat Kabinet. Akan tetapi apakah wajar saya buat begitu? Tidak wajar kerana minit mesyuarat Kabinet itu rahsia sifatnya dan saya tidak akan keluarkan. Cuma saya nak sebut perkara itu berlaku.
Janganlah kita pilih. Kalau benar berlaku kita betulkan tetapi saya ingin pertahankan di sini kerana dalam pertemuan saya dengan pemimpin-pemimpin PAS, DAP dan Keadilan pendirian kita dan juga komitmen kita untuk mempertahankan ciri asas Perlembagaan itu tidak berganjak sama sekali. Kalau tidak, tidak mungkin Pakatan ini boleh mantap kalau asas-asas Perlembagaan ini tidak dipertahankan.
Tuan Yang di-Pertua, saya hendak sebut di sini kerana apa yang dibicarakan tadi dalam kisah Mamanda Menteri itu persamaan dengan Edmund Burke yang berselisih pendapat dengan Thomas Paine penulis The Rights of Man. Pemikiran Burke tercurah dalam karya Reflections on French Revolution. Jadi oleh itu, saya ingin mengulangi tentang prinsip ini kerana kita tidak boleh kawal bagaimana media UMNO dengan hilang pertimbangan kerana takut kemaraan rakyat ini akan cuma menggunakan isu derhaka tetapi tidak isu yang pokok. Saya ingin pertahankan sekali lagi hak Dato’ Seri Nizar sebagai Menteri Besar yang sah di Perak dan rakan-rakannya.
Ini adalah untuk mencabar keputusan di mahkamah dan keputusan Menteri Besar kerajaan haram yang baru dan rakan-rakan dia. Ini cara yang kita buat melalui proses mahkamah yang diakui oleh Yang Berhormat Pasir Salak dan bukan untuk menyatakan derhaka kerana derhaka seperti mana yang dilakukan oleh Bendahara Paduka Raja itu derhaka yang menyelamatkan Tun Tuah dan menyelamatkan dalam kita tahu kisah Hikayat Hang Tuah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi [Dato’ Haji Noh bin Haji Omar]:Terima kasih Yang Berhormat. Saya dengar ucapan Yang Berhormat tadi dekat luar. Bukan kata Menteri tidak dengar kita dengar dekat luar. Masa zaman Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri dahulu dekat luar belum ada TV lagi. Ini tadi bila kata derhaka saya nak tanya YangBerhormatlah dalam sejarah Yang Berhormat dalam UMNO dahulu pun pernah tidak kita mengganggu sampai sanggup menghalang perjalanan Sultan? Baring di jalan. Kacau laluanseperti yang demikian. Pernah tidak benda berlaku? Itulah saya hendak tanya?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Dalam pengalaman saya dalam UMNO pernah Perdana Menteri, Menteri-menteri dan pemimpin UMNO menghina Raja-raja. Dalam pengalaman saya cuma saya tidak pernah dengar seperti mana yang berlaku di Terengganu di mana ada tunjuk perasaan yang mencemar duli dan menghina dan memanggil nama Raja dengan perkataan yang kesat. Akan tetapi saya sudah sebut dan sudah jawab pada Yang Berhormat Pasir Salak tadi.
Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Saya ingat Yang Berhormat tidak jawab soalan saya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tidak. Saya hendak jawab. Saya jawab. Dengar. Sabar.
Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Yang Berhormat tidak jawab soalan saya. Soalan saya ialah pernah tidak sampai orang UMNO baring di jalan ini? Sultan hendak jalan, baring di jalan.Polis grip macam tu .
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya. baik-baik. Saya nak sebut...
Dr. Mohd. Hatta bin Othman [Kuala Krai]: Lantik Sultan baru pun ada lebih teruk daripada baring tu.
Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Polis grip macam tu. Itu bukan perbuatan yang derhaka?
Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Bukan kurang ajar ini perbuatan derhaka kah?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]:Tidak apa.
Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Bukan kurang ajar ini perbuatan derhaka?
Seorang ahli: Hoi. Lantik Sultan...
Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Kalau kita bercakap Datuk Seri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ini Menteri ini.
Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: I know. Saya Menteri pun, saya ada hak.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Menteri pun tidak ikut peraturan.
Tuan Yang di-Pertua: Sudah sudah.
Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Saya pun ada Raja. Ini soal Raja. Soal Melayu. Bukan
hak itu hak saya.
Seorang ahli: Lantik Sultan baru.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Hak-hak tetapi Menteri pun kena
ikutlah. [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Menteri pun kena ikut peraturanlah.
Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Sebab Yang Berhormat pun cakap lain yang kita tanya
lain Yang Berhormat jawab.
Tuan Yang di-Pertua: Soalan sudah di aju Yang Berhormat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Soalan dia tanya belum habis jawab dia
dah melompat. Saya jawab yang pertama saya kata ada kisah-kisah penghinaan dan tapi saya tidak pernah tengok poster menghina Raja seperti yang berlaku di Terengganu. Saya
jawab kepada Yang Berhormat Pasir Salak tadi sama ada oleh UMNO atau bukan UMNO cara
mana pun menghina termasuk yang berlaku di Kuala Kangsar yang dituduh menghina Raja saya
tidak setuju tetapi dia tidak dengar Yang Berhormat Tanjong Karang ini. Jadi pandangan saya
konsisten.
Seorang ahli: Dia lena di luar kot.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yang saya pertikai...
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya]: Duduk-duduk dekat tepi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: ...yang saya pertikai memilih untuk
marah di Kuala Kangsar tetapi kelu membisu di Terengganu.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya kata kita tegur kesalahan di Terengganu, kita tegur kesalahan di Kuala Kangsar dan kita tegur kesalahan di Perlis. Siapa sahaja yang menghina institusi harus ditegur termasuk kalau Menteri pun kita tegur.
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Kelantan Sultan baru.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya hanya ingin merumuskan bahagian pertama tentang isu institusi Raja, Perlembagaan dan derhaka. Saya harap dengan penjelasan ini, walaupun media UMNO, Barisan Nasional memilih untuk memadamkan tapi kita harap rakyat akan dapat terdedah dengan kenyataan yang sebenar. Dalam merumuskan isu ini juga, saya ingin mengulangi pendirian kita tentang keperluan untuk membuat sedikit rombakan dan pindaan Perlembagaan untuk memantapkan semula kekuatan ninstitusi tersebut. Dalam hal ini juga, dalam membicarakan Perlembagaan sebagaimana titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung, maka isu bahasa ada kaitannya.
Kita berbangga dan mempertahankan prinsip Perlembagaan dan bahasa Melayu diantara tunggaknya. Akan tetapi bila pelaksanaan di Kementerian Pelajaran kini mengkhianati prinsip ini, orang yang menjadi juak-juak Melayu dan Perlembagaan itu mendiamkan diri. Maka saya hanya mengulangi pandangan beberapa rakan termasuk Yang Berhormat Marang yang menggesa Kementerian Pelajaran supaya segera membuat perubahan, menghormati semangat Akta Pelajaran Razak, Penyata Rahman Talib dan apa yang dilaksanakan selama puluhan tahun, memartabatkan kedudukan bahasa Melayu. Alasan yang dikemukakan oleh Menteri Pelajaran, beliau memohon sedikit lagi waktu, saya fikir itu hambar sama sekali kerana enam tahun pelaksanaannya, laporan dan kajian dikemukakan, dan melengahkan ini maknanya terus mengorbankan kepentingan bahasa dan mengkhianati amanah yang tertera dalam Perlembagaan Persekutuan.
Salah satu tunggak Perlembagaan juga adalah kedudukan hak keistimewaan orang-orang Melayu dan bumiputera. Yang dipertikaikan kini adalah cara kita mengendalikan. Kita menggunakan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera itu untuk memperkayakan segelintir pemimpin-pemimpin dan memberikan hadiah kecil-kecilan kepada rakyat terbanyak. Oleh yang demikian, ada kewajarannya supaya kita melihat semula maksud peruntukan 153 itu, mempertahankan kedudukan orang Melayu dan bumiputera supaya majoriti bumiputera memperoleh manfaat bersama dengan rakan-rakan mereka masyarakat Cina, India dan lain-lain.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin merujuk kini kepada permasalahan demokrasi dan jenayah di negara kita. Pertama, soal pencabulan demokrasi. Pimpinan negara sehingga kini belum dapat menerima, menelan kenyataan bahawa ada kemaraan rakyat yang inginkan perubahan dan Pilihan Raya Umum 8 Mac memberi kejutan besar kepada UMNO dan Barisan Nasional. Jadi apa langkah yang mereka ambil sekarang ialah menidakkan kenyataan itu dengan meneruskan cara ugutan dan rakus memastikan perubahan mandat rakyat itu berlaku.
Saya ingin memberikan bukan saja kenyataan longgar, saya memberikan hujah dan bukti yang nyata. Percubaan yang dilakukan oleh pimpinan UMNO termasuk Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin, mengugut, melarikan orang, memberikan rasuah dengan jenayah yang besar, ini hanya meneruskan rekod dan tradisi rasuah yang memang dipalitkan kepada tokoh-tokoh berkenaan.
Terima kasih kerana Yang Berhormat Kuala Krau pun bersetuju dengan senyuman. Saya mulakan dengan akuan bersumpah. Seorang pemimpin Keadilan, Fauzi Muda yang mengaku awal 8 Mac pilihan raya, 11 Mac beliau di bawa bertemu dan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri di rumah kediamannya. Apa kenyataan Fauzi Muda? “Dalam perbincangan tersebut, Dato' Sri Mohd Najib telah merayu kepada saya agar membantu memujuk sekurang-kurangnya dua Adun Negeri Perak daripada Parti Keadilan Rakyat melompat kepada UMNO atau menjadi wakil Bebas. Beliau sanggup menawarkan kepada saya sebanyak RM50 juta bagi tujuan tersebut dan terpulang kepada saya berapa jumlah yang saya hendak bayar kepada mana-mana ADUN Pakatan Rakyat yang mahu lompat.’’
Tuan Yang di-Pertua, ini pengakuan bersumpah. Kalau salah, ini terserah kepada siasatan pihak polis tetapi tidak ada siasatan daripada pihak polis. Cuma yang di war-war, yang dihebahkan oleh pimpinan UMNO, yang memulakannya Anwar. Ini orang yang buta sejarah... Bodoh alang kepalang. Tidak tahu apa berlaku di Kelantan, di Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Daud Samad tidak berlaku apa yang diketahui dilakukan di Sabah, itu pertama.
Keduanya, saya meminta dan saya ulangi kepada rakan-rakan saya Barisan Nasional secara terbuka, saudara-saudara dipelawa untuk bersama menerima agenda ini termasuk Yang Berhormat Batu Pahat. Apa isu dia? Apakah saya sogok kepada Yang Berhormat Batu Pahat dengan janji nak jadi Perdana Menteri seperti mana yang beliau harapkan benar-benar? Saya tidak janjikan. Saya melalui teman-teman mengatakan kepada beliau ini agenda kita, kita mahu perubahan. Ini, di mana salahnya? Saya kata ini tawaran kita.
Apakah saya janji RM5 juta ataupun RM50 juta seperti mana yang dibuat oleh pemimpin beliau dalam pengakuan bersumpah ini? Tidak ada! Jadi, mengapa nak dikaitkan cara dan kaedah saya mengajak orang memilih Pakatan Rakyat dengan cara bawa lari orang, simpan di rumah, sembilan hari kemudian muncul bersama Timbalan Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tidak malu sama sekali, tidak ada maruah sama sekali.
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Memang muka tidak malu puak ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Ya, tidak ada maruah, maruah pemimpin, ambil orang hilang. Tuan Yang di-Pertua saya mulakan dengan pengakuan Fauzi Muda, Pengakuan Bersumpah, saya ulang di Parlimen kerana pimpinan polis tidak boleh diharap untuk membuat apa-apa penyiasatan. Kalau kes yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat selak habis kelambu, tetapi kalau kes yang melibat kan pemimpin, kes bunuh pun tidak berani disoal. Saya tidak katakan siapa yang terlibat tetapi soalan pun tidak ada, penyiasatan yang teliti pun tidak ada. Ini negara apa ini? Somalia, Chad atau Malaysia?
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak bagi Batu Pahat Yang Berhormat?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Boleh.. Biar saya habis yang sebahagian dahulu, saya memang tunggu nak Yang Berhormat Batu Pahat mencelah. Dalam pengakuan bersumpah Fauzi Muda tadi beliau menambah pengakuan “ Usaha mereka memujuk saya semakin kerap semenjak kes dua Exco Keadilan yang didakwa di Mahkamah atas tuduhan rasuah.” Mereka mensasarkan kedua-dua Exco tersebut agar dapat dipujuk dan kali terakhir ialah sebelum hari sebelum Tahun Baru Cina di mana mereka telah berjumpa saya dan menawarkan jika kedua-dua Exco tersebut bersetuju untuk melompat dari Pakatan Rakyat, Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bersedia membayar RM5 juta bagi setiap orang termasuk untuk saya RM 5 juta.
Ini percubaan awal untuk menggugat Kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Dato’ Seri Nizar. Jadi bila hilang dua Ahli Dewan Undangan Negeri Jelapang dan Changkat Jering, isteri ADUN Changkat Jering dan Behrang. Yang Berhormat Batu Pahat dengar baik-baik. Ini bukan wakil parti, isteri telefon menangis minta tolong saya “ Dato’ Seri, suami saya dibawa lari”. Saya kata di mana? Kata mereka” berjumpa Timbalan Perdana Menteri “. Saya kata telefon, tak jawab telefon, SMS, tak jawab SMS. Menangis, Yang Berhormat Batu Pahat kerana masa itu empat hari suami tu hilang. Hari kelima saya telefon, ada berita? Tak dapat, cuma ada hanya satu berita bagi tahu jangan bimbang kerana pimpinan UMNO jaga dia dengan baik. Saya jawab kalau ada perkembangan tolong bagi tahu. Cukup tujuh hari dua orang ini muncul bersama Timbalan Perdana Menteri tersengih, “Kami sekarang tidak percaya lagi dengan Pakatan Rakyat dan jadi Bebas dan menyokong pimpinan UMNO “Yang Berhormat Kinabatangan bolehkah kita senyum dengan cara yang sedemikian?
Tidak, betul saya bagi tahu, ini isteri dia telefon menangis. Ya, ini politik kotor, jijik, politik hambar, politik yang melibatkan pembunuhan, penculikan dan rasuah. Orang yang terlibat dalam ketiga-tiga kes ini nak diamanahkan jaga pimpinan negara ini, ini dia politik yang di banggakan.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ini yang menjadi masalah kepada kita iaitu bahawa akhirnya apa yang sering kita katakan ialah diugut, dilarikan orang dan berbagai-bagai lagi.Sedangkan di manakah puncanya? Puncanya ialah kelemahan kepada PKR sendiri kerana ituadalah Wakil Rakyat mereka, yang mereka pilih untuk menjadi calon dan mereka ini ialah sebenarnya yang sebelum ini apabila didakwa di Mahkamah di tuduh bahawa ini adalah konspirasi Barisan Nasional ketika mereka di buat tuduhan dahulu, diperangkap dan sebagainya, sedangkan bagaimana nasibnya mereka ini terpilih menjadi calon? Itu juga menjadi satu persoalan.
Sebab itulah bila dikaitkan dengan Akuan Bersumpah, ini adalah perkara yang kita tahu bahawa sekarang ini Akuan Bersumpah pun di mana kredibilitinya? Banyak sudah Akuan Bersumpah yang dibuat, Saiful pun buat Akuan Bersumpah dan sebagainya macam-macam. Apakah kita nak dengar? apakah kita nak guna pakai? Begitu juga dengan perkara ini, Fauzi ini, bolehkah di guna pakai? Kredibiliti atau tidak sedangkan ada pula orang lain berhujah bahawa apa yang dikatakan oleh Fauzi itu tidak benar. Jadi itu kita nak gunakan itu sebagai hujah kita dalam Parlimen? Di mana kredibilitinya? Sebab itu..
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: [Menyampuk]
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sikit lagi Permatang Pauh ya..sikit lagi. Sebab itu saya kata saya lebih mempersoalkan kredibiliti kita dalam melihat mereka ini, sebab itu sekarang ini timbul pula berbagai-bagai isu yang memperlihatkan kredibiliti Wakil-wakil Rakyat daripada sebelah sana tapi semuanya dikaitkan dengan kita. Saya membangkitkan soal, yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh ini bukan kerana saya nak berhujah, maksudnya begini, iaitu apabila kita diminta menyokong Yang Berhormat Permatang Pauh ya, maka yang saya hujahkan ialah tidak kah ini double standard? Iaitu kita minta orang lain tandatangan surat untuk dihantar pada Agong itu dengan tujuan untuk membuktikan kepada Agong bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti hli Parlimen, maka perlulah Permatang Pauh diterima sebagai Perdana Menteri.
Inilah yang berlaku di Perak iaitu apabila tiga ahli Bebas menyatakan sokongannya kepada BN apabila Wakil Rakyat Bota itu kembali kepada BN ia telah menjadi 28:28, tidak perlulah maksudnya dibawa kepada Dewan Undangan Negeri. Ini yang saya buatkan perbandingan, apa bezanya kalau dulu kita nak buat cuma tidak berjaya, gagal 16 September, tetapi berlaku di Perak. Kenapa kita nak marah? itu sahaja, mohon penjelasan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, saya nak ulang kepada Batu Pahat saya bukan marah orang nak keluar parti, saya marah cara menculik, ugut, bini pun tak tahu, isteri pun tidak tahu, menangis rayu pada saya “Mana suami saya dilarikan?” Yang Berhormat Batu Pahat, sekarang saya akan bagi Kinabatangan. Jadi jangan kita pertahankan jenayah, ini tuduhan ini Akuan Bersumpah, siasat tanya Fauzi, tanya saksi dia, tanya Timbalan Perdana Menteri betul tak dia pergi ke rumah sekian hari bulan? Mengapa bila datang Timbalan Perdana Menteri kes pembunuhan Altantuya tidak boleh tanya, kes hilang rekod imigresen tidak boleh tanya, kes Bala Subramaniam hilang ke mana, tidak boleh tanya.
Saya tidak tuduh siapa bersalah, tanya pun tidak boleh, nak harapkan Polis macam ini nak jaga, kawal jenayah macam mana? Ini yang disebut double standard. Kalau Batu Pahat sebut Tuan Yang di-Pertua, dia kata “Kalau Anwar panggil saya, apa salahnya Tajul Rosli, Datuk Tajul Rosli, Tan Seri kalau tak silap, Tan Seri Tajul Rosli panggil orang lain”. Saya tidak kata salah, dengar betul-betul. Saya tidak pertikai hak sesiapa untuk pilih nak sertai, saya pertikai cara dibuat. Ramai Ahli Yang Berhormat Barisan Nasional yang ada tahu, banyak yang dah bincang dan dah datang ke rumah tu jumpa saya, ada yang dah tanda tangan, ada yang kata at the right time, ada saya sebut? saya tak sebut? Sebab apa? itu understanding, ada saya bagi RM5 juta? Ada saya ugut kalau you tak buat, aku sula kamu sampai mati, tak ada. Ada saya bawak lari dia seminggu sampai isteri tak tahu.
Tuan Yang di-Pertua saya tidak akan gunakan Dewan ini kalau isteri dia tak telefon saya bagi tahu dalam keadaan menangis teresak-esak. Yang Berhormat Batu Pahat kena ingat ini bukan politik lagi dah, ini sudah satu jenayah yang dilakukan bawa lari orang dan sebelum Yang Berhormat Kinabatangan, Yang Berhormat Kinabatangan kawan lama, saya pun nak pergi Sandakan juga. Bukan masalah-masalah keluar parti, masuk parti, kena ingat yang saya bangkitkan cara ia dibuat, baik ADUN Bota, kawan saya Nasaruddin, telefon datang ke rumah, saya kata okey bila? Saya kata tidak sempat lepas jamuan, okey pukul 10 malam datang. Dia kata saya tidak ada keyakinan sama sekali dengan pimpinan sekarang lebih-lebih lagi bila ada peralihan kuasa.
Saya tengok rasuah, jenayah banyak, saya sudah fed up. Saya kata, “kalau begitu ambil
keputusan.” Dia kata “boleh.” Saya kata “kalau boleh ambil keputusan, saya tahu saudara akan
didera dan dicaci oleh media UMNO.” Mereka mempunyai kekayaan, mereka mempunyai media. You kena decide betul-betul. Dia kata, “saya sudah ambil keputusan, saya sudah bertekad, saya sudah beristikharah”. Okey, kalau begitu you kena berdepan dengan media.
Biar media tanya you sendiri, saya tidak mahu umum bagi pihak saudara. Maka kita
uruskan buat media. Dia draf sendiri kenyataan, dia tanya pendapat Datuk Seri, “Boleh,
kenyataan?”. Saya kata, “Saya tidak mahu campur kenyataan, sebab kalau saya campur nanti
rekod kata, Anwar campur untuk pinda kenyataan.” Dia buat kenyataan. Kemudian saya kata,
“Kalau begini, saudara bertanggungjawab menerangkan kepada pengundi-pengundi saudara di
Bota, Parit, Perak.” Dia kata, “Okey”. Dalam tempoh tiga hari 10,000 orang lebih berhimpun dan dia berucap dengan tegas depan 10,000 orang.
Saya hilang kepercayaan kepada pimpinan UMNO. Parti yang tidak punya idealisme,
yang bergelumang dengan rasuah dan saya memilih Parti Keadilan dalam pakatan Rakyat.
Kemudian dia jumpa saya di Ipoh, dia pergi jumpa saya di Permatang Pauh kerana ada hadir ke
satu majlis. Selepas itu ada sekali lagi telefon dari isteri, suami dia hilang lagi. Yang Berhormat
Batu Pahat, saya tidak tambah. Saudara pun orang politik, saya pun orang politik. Saya pun
bertanggungjawab akhirnya kepada Allah SWT. Bila saya sebut ada telefon, menangis, kata
hilang, dengarnya pergi ke rumah Timbalan Perdana Menteri.
Ini Tuan Yang di-Pertua, saya sebut the polemic. Hilang setelah beberapa hari menjelma
dengan Timbalan Perdana Menteri, saya sudah sokong UMNO semula. Walaupun saya tahu
perlembagaan UMNO tidak boleh terima balik sebelum lima tahun tetapi itu masalah UMNO
bukan masalah saya. Akan tetapi perlembagaan UMNO itu saya ingat, Yang Berhormat Batu
Pahat tidak hafal, saya hafal perlembagaan UMNO ini. Jadi...
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Mohon penjelasan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya cuma
hendak sebut yang ini, bukan hendak pertikai apa Yang Berhormat Batu Pahat sebut soal
saudara juga diajar melalui teman-teman, ada bezanya. Akan yang saya pertikai ini, boleh tidak
cara menculik orang. Boleh tidak seperti mana dalam ini.... [Menunjukkan satu dokumen]
Mengugut orang.You charge, dakwa dua orang pasal kes rasuah. Kes yang entah ke mana
sekarang kerana Badan Pencegah Rasuah ketika itu pun didakwa, dia pun dakwa. Selepas itu
bila ada kes rasuah, ambil dia buat deal Saudara kita tunggu.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Minta penjelasan, sikit lagi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yang Berhormat Kinabatangan dulu.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya ada dua isu, yang pertama saya ditanya bolehkan kita tersenyum dalam
keadaan isteri dia menangis? Memang, saya bukan tersenyum pasal itu, saya bersimpati
sebetulnya. Cuma, apabila melibatkan culik ini bermakna satu perbuatan yang tidak baik. Akan
tetapi mungkin, kalau kita percaya bahawa politic is possible game, mungkin dia ada
understanding agreement di antara yang mahu berpindah dengan yang merunding.
Ini kita tidak boleh tuduh culik juga. Sebab kalau culik ini boleh dikatakan kekerasan. Dia
tiba-tiba hilang dan saya sendiri pun saya mengakui, perkara-perkara politik kita tidak boleh bagi tahu orang rumah kita sekali pun sebab dia rahsia. Jadi mungkin dia pun berpendapat tidak perlu bagi tahu isteri dia, dia hendak berhijrah. Sebab politik ini...
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Hendak kahwin seorang lagi tidak perlu
bagi tahu bini.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Kadang-kadang kita lihat kotor, tetapi
realitinya begitu. Jadi persoalan yang ingin saya kemukakan, mungkin bagi pihak Pakatan Rakyat di Perak cari kaedah pendekatan yang baru. Sebab saya juga mendapat laporan, dulu pun Yang Berhormat Batu Gajah sebelum pilihan raya dia kata, “Saya tidak mahu bertanding sebab sayatidak sehaluan dengan pemimpin DAP di Perak.” Dua kerabat, sepupu, adik beradik yang menguasai segala-galanya. Tiba-tiba dia punya mentor campur tangan, Yang Berhormat Batu Gajah bertanding balik.
Akan tetapi yang satu ini mungkin sudah tidak tahan walaupun dia deputy speaker di
Perak tetapi sudah tidak tahan kerana kena tekan, dia pun lari. Akan tetapi DAP kata tidak ada
kronisme, tidak ada apa-apa, tetapi jelas. Jadi mungkin inilah yang berlaku. Dua orang ini pun
mungkin kerana tekanan dalaman. Mungkin dia dalam PR Melayu tetapi tidak tahan dengan DAP di Perak. Dia pun “Ah, buat apa tunggu kalau tidak tahan.” Dia pun lari bukan pasal diculik, dia sengaja mahu lari, cuma dia rahsiakan, mungkin itu yang berlaku.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Yang Berhormat Kinabatangan. Tuan Yang di-Pertua, ini bukan politik serba kemungkinan. Ini saya bagi ini fakta.Kalau Yang Berhormat fikir isterinya itu pura-pura nangis depan saya, itu soal Yang Berhormat. Pada masa itu saya benar-benar runsing, okey.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Minta maaf. Saya bukan kata pura-pura. Dia sendiri pun tidak tahu apa yang berlaku sebab dirahsiakan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Baik. Kalau benar dia tidak tahu Yang
Berhormat, kita pilih Datuk Nasar dia pilih. Saya tidak mahu kata apa-apa yang menyinggung dia, saya bagi tahu fakta. Dia datang, dia buat kenyataan terbuka besoknya depan 10,000, dia
berdepan. Orang pakatan Rakyat, dua Keadilan, satu DAP masuk. Sudahlah dia hilangkan
macam kes dua Exco itu sepuluh hari, sembilan hari hilang.
Kemudian menjelma hanya sekali di depan awam, di depan Timbalan Perdana Menteri.
Kemudian hilang semula. Sampai sekarang tidak sanggup berdepan dengan rakyat yang
memilihnya. Ada beza Yang Berhormat Kinabatangan. Bezanya besar, orang datang dengan
conviction, dengan datang dengan pelbagai cara kaedah yang lain. Memalu dan mengaibkan kita
kerana ia melibatkan langsung nama Timbalan Perdana Menteri dalam kes ini. Tidak ada
langsung sense of shame. Tidak rasa tersinggung sama sekali bahawa ada orang hilang
sembilan hari, jelma depan dia kemudian hilang semula.
Ini dari segi yang disebut etika, moral, akhlak, prinsip semua. Boleh katakan “Oh, Anwar
pun ajak”. Saya jumpa Yang Berhormat, saya kata “Bila Yang Berhormat boleh?” Itu ada saya
sorok, ada saya paksa, ada saya larikan orang? Saya cakap soal prinsipal kerana saudara
pernah..., dan sekarang saya menganggap sebagai sahabat. Saya cakap terus terang dan ini
agenda kita. Jangan hairan kalau perkara ini berlaku dalam politik kerana Yang Berhormat sebut art of the possible tetapi possible itu jangan cara sogok, khianat, tipu, culik dan jenayah. Saya akan sambung dengan bukti yang lain. Kedah Darul Aman ....
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Penjelasan sikit.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Sebelum itu Yang Berhormat Batu
Gajah, bagaimana saudara hendak kaitan dengan Yang Berhormat Batu gajah. Ini soal dalam
parti. Apakah Yang Berhormat Batu Gajah diugut, cuba dibeli? Tidak. Dia ambil satu sikap dan
pendirian tidak hendak. Pengalaman saya dengan ahli parlimen Parti Keadilan pun banyak. Dia
berbeza pendapat dengan satu dua keputusan dari Kerajaan Negeri, dia ambil keputusan begitu
begini kemudian kita panggil, kita bincang.
Tapi yang kita bahaskan ini soal khianat, soal culik, soal bunuh, soal ugut. Akan sampai
Yang Berhormat Kinabatangan. Saya hendak gunakan majlis ini hendak bincangkan titah di raja
ini. Kalau tidak diganggu, saya tidak akan pendekkan. Saya tahu Tuan Yang di-Pertua, sudah
lihat jam.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sikit sahaja penjelasan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Baik,sebab itu Yang Berhormat Batu
Gajah, dia ada prinsip dia. Dia masuk parti, bertanding berdasarkan prinsip. Dia berbeza
pendapat dengan satu dua tokoh kemudian dia leraikan kerana prinsip perjuangan itu mengatasi
sedikit satu dua pendapat perbezaan dengan parti. Bagaimana kita hendak bezakan pendirian
Yang Berhormat Batu Gajah dengan prinsip dengan orang yang lari entah ke mana. Tidak tahu
ke mana, tidak tahu sampai sekarang.
Hendak kontak tidak tahu, pengundi dia tidak tahu mana. Sesekali telefon, tengok ini apa
dia ini? Yang Berhormat Batu Pahat saya faham saudara Yang Berhormat Batu pahat wakil
UMNO dan Barisan Nasional. Tidak apa saya faham, saya juga menghormati kerana Yang
Berhormat Batu Pahat ini di antara ahli parlimen yang bercakap dan pertahan juga beberapa
prinsip. Akan tetapi saya hendak sebut di sini, bila saya sebut kes-kes ini dan kes yang hendak
sebut di sini, ini fakta.
Saya dengar khabar-khabar angin, saya tidak berani sebut kerana ini saya terpaksa pertahankan dan saya berkewajipan membentangkan hanya apa yang saya yakin sebagai fakta,
ada laporan polis atau …statutory declaration. Kalau tidak ada, saya tidak berani. Akan orang
kata diugut, saya kata buat laporan dia tidak mahu. Kalau begitu saya tidak mahu sebut.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang
Pauh, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebab itulah di awal tadi saya membangkitkan soal
kredibiliti kepada akuan bersumpah apa yang dinyatakan oleh si isteri tadi kebenarannya. Sebab
itu saya kata bahawa ini berbangkit bertambah-tambah lagi apabila dalam kes Bukit Lanjan itu,
mereka terus membuat satu andaian, ini adalah konspirasi Barisan Nasional.
Jadi sebab itulah saya mengatakan bahawa bila melihat kepada kes Bukit Lanjan
dikaitkan dengan apa yang berlaku di Perak, maka ini yang kita katakan kredibiliti itu yang
mengatakan mereka ini dilarikan, diculik, diugut dan sebagainya. Kalau soal wakil rakyat DAP
yang jadi Bebas itu sekarang menghilang diri, mungkin dia sebenarnya diugut oleh orang DAP
sendiri ataupun PKR atau sebagainya, sebab itu dia takut untuk keluar.
Dia sebenarnya yang terugut sekarang ini, sebab dia sendiri pun kata, dia kata dia
mempertaruhkan nyawanya bila dia keluar daripada DAP. Maksudnya, dia tahu dia diugut,
mestilah dia diganggu, keluarga dia diganggu dan sebagainya. Ini yang saya kata bahawa kita
sebenarnya sudah muak mendengar perkataan diugut, diculik dan sebagainya ini. Sebab
kredibilitinya itu tidak ada, yang saya katakan tadi asasnya ialah kelemahan dalam memilih
calon-calon tersebut.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ini yang sepatutnya diberi keutamaan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Okey...
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Apabila membangkitkan perkara itu. ini
salah siapa?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Salah PKR lah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Baik, saya terima. Saya tak pernah
menolak, memang ada kelemahan dan insya-Allah kita perbaiki, termasuk program tarbiah dalam parti. Saya tak ada masalah, tetapi jangan gunakan itu untuk menghalalkan jenayah,
Yang Berhormat Batu Pahat sebagai tokoh muda yang kena ingat perkara ini, jangan halalkan
jenayah. Jikalau nak gunakan satu alasan teknikal, oh belum bukti, mengapa Polis tak siasat?
Mengapa tidak ada siasat, seorang buat tuduhan kepada Timbalan Perdana Menteri
tentang penculikan, bagi tarikh jumpa, di rumah, pukul berapa, dengan siapa. Jumpa di rumah
Timbalan Perdana Menteri dengan siapa, siasat. Kalau itu tidak boleh dilakukan dan nak katakan ini teknikal kerana dia lemah, memang betul dia lemah, sebab dirangka satu ertuduhan rasuah dan dia rasa gelisah.
Jumpa saya dua tiga kali nak selamatkan. Bagaimana, saya kata kena lawan di
mahkamah sajalah, itu cara saya jawab. Bukan saya kata nak boleh runding dengan Timbalan
Perdana Menteri, bukan kerja saya begitu. Jadi saudara kata tuduhan itu palsu, seorang ahli
Exco hilang 10 hari, kemudian saya kata, ha mana boleh di culik, ini apa dia ini? 10 hari seorang
Exco hilang, Menteri Besar tak tahu, ketua parti tak tahu, bini pun tak tahu dan saudara nak
pertahankan.
Ini pertahan apa? Tak betul, tidak boleh, tidak boleh kita pertahankan, Tuan Yang di-
Pertua, kalau nak buat dengan rela hati, ya berdepan, jumpa Press, biar Press tanya. Ini dah
sebulan, belum lagi pergi ke depan kepada rakyat, ya kita tak percaya dengan Pakatan Rakyat
dan Anwar dan apa pun. Sebut, dia sebut, kita berdepan dengan politik, jangan hilang. Kalau
macam ini pun politik begini, direstui oleh kepimpinan tertinggi dalam negara, ini yang saya
pertikai Yang Berhormat Batu Pahat.
Saya nak sambung kalau boleh, kerana ada isu Kedah dan Selangor belum habis lagi
dan ini bangkit Bukit Lanjan, saya sampai kalau perlu. Laporan dibuat, di Kedah Darul Aman, di
bawah pimpinan Dato Seri Azizan Abdul Razak, 11 April 2008, ini lebih serius daripada tadi. Sri
Gading, dengar betul-betul, ya, betul. 11 April 2008, Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim, Yang
Berhormat Lim Soo Nee daripada Pakatan Rakyat telah dihubungi oleh seorang agen Barisan
Nasional yang mewakili Datuk Seri Mahadzir Khalid, Pengerusi Barisan Nasional Kedah dan
bekas Menteri Besar, minta Lim Soo Nee melompat parti, dengan tawaran RM4 juta. Betul, Yang Berhormat kata ini hanya tuduhan longgar. Okey, saya terima. Saya sambung.
Tawaran itu dinaikkan RM5 juta. Ya, ini juga mungkin kenyataan melulu. Kemudian
perjumpaan diatur untuk menemukan Yang Berhormat Lim dengan Datuk Seri Mahadzir Khalid
dan Timbalan Perdana Menteri. ADUN Kulim itu diganggu dengan tawaran, pujukan lompat parti April, Mei, Jun dan Julai 2008, kemudian itu pun tuduhan Yang Berhormat Sri Gading.
Kita takboleh pakai politik ini, banyak orang tuduh, baik. Yang Berhormat ADUN Lunas, buat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah mengatakan dengan bukti tarikh-tarikh agen UMNO cuba beli beliau, maka beliau bersedia berpakat dengan BPR untuk menjadikan diri sebagai umpan untuk menangkap orang yang cuba beli. Ini kali pertama saya dedah kepada awam, saya nak tengok BPR, suruhanjaya sekarang sanggup bertindak ataupun tidak. Saya nak tengok benar atau bebas, bebas benar yang mereka dakwa. Saya sokong suruhanjaya itu, saya sokong kenaikan gaji dan elaun mereka, saya yakin dengan keupayaan mereka. Akan tetapi saya nak tengok sejauh mana tekanan yang diberikan oleh pimpinan politik.
Pertemuan demi pertemuan diatur oleh agen Barisan Nasional dan Yang Berhormat Lim.
Semuanya dengan pantau BPR, Kinabatangan yang ini memang pukulan K.O.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Siapa nama itu agen-agen?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ada, ada, jangan lupa, baik. Kemuncak
pemantauan ini Tuan Yang di-Pertua, pertemuan di antara bekas Menteri Besar Kedah, Datuk
Mahdzir Khalid dengan Yang Berhormat Lim di sebuah hotel di Seberang Jaya pada akhir 2008.
Dia pilih hotel Seberang Jaya di Permatang Pauh, memang cari maut. Ini kerana hotel Permatang Pauh itu walaupun UMNO punya tapi penyokong kita 100% maka apabila sampai, pertemuan itu dirakam CCTV.
Bukan astaghfirullah, alhamdulillah. Sri Gading kata astaghfirullahlah.
Alhamdulillah kerana dia nak cari bukti jenayah berlaku. Kita tuduh berbuih mulut-mulut, dia tak nak dengar, baik CCTV pasang, Yang Berhormat Lim, Mahadzir Khalid, bekas Menteri Besar
Kedah.
Semua perbicaraan, sogok menyogok, ugutan, dirakam oleh BPR ketika itu, belum lagi
Suruhanjaya, apa jadi? Tidak ada tindakan susulan diambil, pegawai yang bertanggungjawab
dikeluarkan dari Kedah, saya difahamkan. Ya, yang itu astaghfirullah betul. Yang Berhormat ini
macam mana, tadi dikatakan belum cukup bukti. Sekarang ini, CCTV, pegawai BPR, rakam,
siapkan semua di Hotel Seberang Jaya.
Saya ucap tahniah kepada pengundi-pengundi Permatang Pauh kerana membantu
dalam mendedahkan kes jenayah besar ini. Tindakan sampai sekarang tidak ada. Jadi saya
persilalah kalau ada soalan daripada Yang Berhormat.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Saya cuma nak tanyalah pasal apa ni,
terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Nak tanyalah pasal video tadi tangkap tadi, ada gambar
tengah bagi duit.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: [Membaca sepotong ayat Al-Quran] ini
maknanya kalau dah sampai dah, tak mahu juga, terima kenyataan ini, jawapan saya [membaca
sepotong ayat Al-Quran] selamatlah kamu...
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Laluan.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Jawablah terus terang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya tidak tengok, saya bukan, dengar
dulu...
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Cakap terus terang, ada nampak tak bagi
duit.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Dengar dulu. Tuan Yang di-Pertua,
saya tidak tonton kerana saya bukan pegawai BPR; yang saya tahu ada rakaman. Dengar dulu.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Batu Pahat
duduk dahulu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yang Berhormat Batu Pahat ialah,
hendak jadi jaguh murahan kata Yang Berhormat Gombak. Pertahan, sudahlah, sudah. Ada hal
lagi yang kita boleh pertahankan. Lagi banyak Yang Berhormat Batu Pahat
bercakap,pertahankan ini lebih jatuh kredibiliti dia sebagai wakil rakyat.
Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: Itu sebab, apa salahnya saya tanya
berterus terang nampak atau tidak gambar tersebut, kenapa tidak mahu jawab?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Dia tidak bagi jalan Yang
Berhormat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Malu kepada anak-anak kita. Yang
Berhormat Permatang Pauh cuba bangkitkan bukti, Yang Berhormat Permatang Pauh bangkitkan bagaimana berbulan-bulan seorang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat bekerjasama dengan BPR untuk memerangkap orang yang hendak beri sogokan rasuah dengan diambil CCTV. Yang Berhormat Batu Pahat pertahankan, mana tahu, mana bukti, mana gambarnya? Bukan kerja saya, saya bagi tahu suruhanjaya ambil tindakan dan dedahkan sekarang kerana saya boleh bertahan.
Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: Yalah, kalau setakat berjumpa, saya
pun selalu jumpa orang-orang PKR. Orang boleh ambil gambar saya.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak bagi jalan Yang Berhormat
Permatang Pauh.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Kalau inilah cara ahli Barisan Nasional
yang agak terbaik dalam sidang yang ini, qaalu salamaa. Yang Berhormat Machang.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Apakah Yang Berhormat Permatang Pauh sedar bahawa dalam pendedahan kes ADUN Kulim Lim Soo Nee ini. Kerjasama yang telah diberikan oleh beliau kepada BPR pada waktu itu, BPR Pulau Pinang sudah berlangsung seawal bulan empat dan semua catatan pergerakan beliau dan agen-agen BN dan namanya, alamatnya di mana, nombor telefonnya, berjumpa di mana, berapa nilai umpan, restoran mana, tempat mana, pekan mana, semuanya dalam pengetahuan dan pemantauan BPR Pulau Pinang. Apakah Yang Berhormat Pematang
Pauh sedar perkara ini yang pertama.
Yang kedua, sehinggalah kemuncak akhir tahun lepas sebuah hotel yang disebut oleh
Yang Berhormat Permatang Pauh, CCTV itu dipasang oleh BPR, rakaman itu dipasang oleh BPR dan selepas itu pegawai BPR yang bekerjasama dengan Lim Soo Nee ini mengucapkan tahniah, terima kasih Yang Berhormat, rakaman jelas, gambar jelas. Masalahnya apa, pegawai itu selepas itu kena tukar. Hari ini kalau Yang Berhormat Batu Pahat hendak tanya betulkah ini ada atau tidak. Kalau soal isteri menangis, itu kredibiliti dipertikaikan. Kalau ada laporan polis itu dipertikaikan, ini kerjasama wakil PKR ini kerana mengharapkan masih ada cebis-cebis kredibiliti dan wibawa BPR dalam menghapuskan rasuah, itu pun bersepai juga.
Jangan tanya kami, tanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah yang kita bahas aktanya dan berkuat kuasa 1 Januari tahun ini. Kenapa tukar pegawai itu, mana pergi CCTV bukti itu, kenapa tidak tangkap Mahadzir Khalid sekarang, itu persoalannya. Jangan tanya kita. Kerja kita dedahkan kita punya semua catatan pergerakan. Kalau itu masih kredibiliti hendak dipertikaikan, qaalu salamaa.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Boleh jawab sekali.
Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: Boleh penjelasan lagi sekali Yang
Berhormat Permatang Pauh.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Boleh jawab sekali, sekali.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya sambung, biar saya jawab ini
dahulu. Saya memang punyai maklumat dan kebanyakan daripada Yang Berhormat Lim Soo
Nee dan semalam pun dia ke rumah saya. Saya bagi tahu Lim saya hendak kemukakan di
Parlimen, dia kata silakan dan dia oleh kerana pertemuan berulang kali, ramai rakan-rakan
UMNO confident lah dia sudah tangkap satu, cerdiknya UMNO ini di Kedah, sudah kena tangkap
satu. Rakan-rakan kita pun ada yang syak wasangka kepada beliau, eh asyik duduk jumpa
Mahadzir Khalid ini tetapi ini lah program kita dan saya bagi tahu sekarang ini dia. You hendak
berbincang dengan pimpinan Keadilan, PAS, DAP silakan, you ugut, you hendak beli orang, kita
siap CCTV.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Sebetulnya saya tidak ada keraguan berhubung dengan insiden-insiden yang
berlaku cuma kita harus ingat pertemuan demi pertemuan, perjumpaan demi perjumpaan ini
boleh berlaku di mana-mana. Cuma mungkin BPR tidak boleh buktikan ada transaksi di antara
kedua-dua pihak. Niat itu dengan apa yang kita laku tidak sama. Di mahkamah tidak boleh
dibuktikan. Kalau benar Mahadzir Khalid ini melakukan kesalahan sebegitu, saya memang tidak
berkompromi, tangkap mereka yang terlibat. Akan tetapi mungkin tidak ada bukti,macam mana mahu tangkap. Itu sahaja.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.
Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: Sudah, sudah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Yang lain diam-diamlah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya setuju kenyataan Yang Berhormat
Kinabatangan terakhir tentang bukti yang saya difahamkan dengan CCTV itu berakhirlah
siasatan. Dengan CCTV itu terteralah bukti cuma kita tunggu tindakan. Jadi saya hendak bagi
jaminan kepada Yang Berhormat Kinabatangan, betul or boleh bercakap, orang ada pertemuan
bahkan saya dalam Pakatan Rakyat terutama Parti Keadilan tidak pernah melarang mana-mana
ahli kita bertemu dengan sesiapa sahaja kerana saya juga bertemu.
Yang diharamkan ialah kerja jenayah dan saya harap Yang Berhormat Kinabatangan
jangan ikut Yang Berhormat Batu Pahat kerana saya hendak sebut di sini pertama perkara itu
seperti mana yang disebut Yang Berhormat Machang berulang berbulan-bulan dan kemuncaknya ialah BPR memerangkap dengan CCTV, itu kemuncaknya. Selepas itu BPR kata lengkap, selesai, terima kasih banyak kamu telah bagi kerjasama cukup baik, tutup cerita, tutup untuk ambil tindakan tetapi mungkin kerana tekanan di atas tindakan belum diambil.
Jadi hendak tunggu tahap profesionalisme suruhanjaya yang kita sokong habis-habisan
dan Yang Berhormat Kinabatangan tahu di antara masalah saya...
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bangun]
Datuk Seri Anwar Ibrahim [permatang Pauh]: ...Ini ada juga ada personel sedikit
kerana masalah saya berbalah dengan beberapa teman-teman saya sebelah sana. Itu mengenai
Akta Pencegahan Rasuah. Yang Berhormat Sri Gading tahu benar kerana dia memang kasih
betul dekat saya dahululah. Ya, tahu benar kes ini di antara kes sampai beberapa orang kawan-kawan saya Ahli-ahli Parlimen masa itu nasihat, “Anwar perlahankanlah sedikit, tak
usahlah push Akta Pencegahan Rasuah ini nanti dia orang marah”. Akan tetapi pada masa itu saya kata itu sudah maksimum yang saya boleh lakukan. Yang Berhormat Shah Alam.
Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Permatang Pauh
kan berani orangnya, cakap sahajalah memang nampak bagi duit, cakap sahaja, apa salahnya.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Shah Alam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yang Berhormat Batu Pahat, kita tahu
maklumat saya ini cukup, hendak ambil tindakan silakan. Kalau tidak mahu ambil, kita memang
tahu kelemahan. Tidak usah cabar saya berikan maklumat yang saya tidak sepatutnya tahu, ini
tidak ikhlas kalau begitu. Jadi yang saya beri yang setakat saya tahu dan saya hendak bagi tahu
yang BPR bagi tahu kepada Yang Berhormat terima kasih kita ada cukup bukti sekarang, terima
kasih kerana bagi kerjasama yang cukup baik, cukuplah, fahamlah itu. Yang Berhormat kan Ahli
Parlimen, katanya guru dahulu, guru mana macam ini. Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh, mungkin dahulu apabila guru itu ada anak murid, dia ikutlah guru itu masa itu betul. Sekarang ini guru...
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Tanyalah, jangan berucap ya.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kalau sekarang ini yang saya, orang
hot dengan saya, saya tidak tahulah kenapa hari ini. Dia orang jaki tengok baju aku,jaket aku cantik kot.
Saya hendak dapat penjelasan sedikit daripada Yang Berhormat Permatang Pauh
berdasarkan apa yang disebut oleh Batu Pahat agak keliru, dia kata salahnya ialah PKR calon-
calonnya tidak standard katanya. Dia hendak calon-calon yang standard ini yang boleh dimakan,
yang boleh ditahan ugut, yang boleh ditahan rasuah, yang boleh ditahan kena culik, yang boleh
kena macam-macam, dia hendak calon-calon macam itu. Dia tidak kisah seolah-olahnya yang
persoalan ugutan, persoalan sogokan, persoalan segala-galanya ini BN, ini memang BN akan
lakukan.
Maka carilah calon-calon yang boleh tahan, ini sikap mereka. Adakah itu satu
sikap yang bertamadun, yang orang yang bangun cakap pasal Islamlah, cakap ini, cakap itu
tetapi dia hendak kita cari calon, insya-Allahlah kita boleh cari calon-calon yang sebegitu, yang
boleh rendam tidak basah, jemur tidak kering, insya-Allah.
Akan tetapi tidak malukah Barisan Nasional, tidak malukah Barisan Nasional
mempertahankan tindakan-tindakan yang sebegitu rupa. Lalu saya harap bagi pihak Barisan
Nasional, hendak pertahankan tetapi apabila sampai soal sampai begitu sekalilah sama-samalah
kita cuba selamatkan negara kita ini. Terima kasih.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, saya cuma sambut kenyataan Yang Berhormat Shah Alam yang terakhir itu, yang lain tidak mengapalah, kita mungkin berbeza pendapat dari segi polisi dan sebagainya tetapi apabila bukti nyata diberikan, kalaupun tidak sanggup sokong pendirian kita, diam sudahlah, jangan kita secara terang pertahankan begini, tidak boleh. Saya hendak menasihatkan mungkin isu lain, laporan polis kita boleh berbalah sedikit sebanyak tetapi dalam isu ADUN Kulim, tidak boleh pertahan, cukup.
Lebih baik kita diam dari berbicara kerana berbicara parah akibatnya. Ini terutamanya
anak-anak kita dengar...
Dato' Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Bangun]
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ini yang akhirlah sebelum saya masuk
ke tajuk lain Pokok Sena.
Dato' Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Permatang Pauh. Apa yang
didedahkan oleh Permatang Pauh tadi berkaitan dengan aduan yang dibuat oleh ADUN Kulim itu tadi satu pengulangan kepada satu peristiwa yang pernah berlaku dalam pilihan raya 2004. Kalau tidak silap saya DUN Pasir Raja diambil dengan gambar, agen kepada calon Barisan Nasional untuk menawarkan kepada calon PAS pada waktu itu. Kita ambil dengan gambar dengan video dan sebagainya kemudian dengan duitnya sekali kemudian BPR datang untuk tangkap sehingga sekarang kes itu masih belum dibawa ke pengadilan. Jadi saya ingat, Sri Gading tolong-tolong tengoklah dan juga Batu Pahat tolong-tolong tengok supaya kes-kes yang macam ini dapat dibawa ke mahkamah. Setuju tidak setuju Yang Berhormat?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat. Lebih
pada setujulah tetapi sudah berlaku tetapi kali ini ia berbeza daripada apa yang berlaku tentang
tujuh bukti itu. Kali ini Yang Berhormat Lim ini bersama dengan BPR, itu beza dia, makna
berbulan-bulan bekerja sehinggakan imej dia terjejas di kalangan teman-teman kita. Teman-
teman kita termasuk dalam pimpinan Pakatan Rakyat dan Parti Keadilan...
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Sudah sama-sama BPR pun terlepas
juga?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Belum lagi.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Oh, belum lagi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Mudah-mudahan saya sebut di sini
Yang Berhormat Kinabatangan dengan harapan BPR ambil tindakan. Kalau tidak dia
mempermainkan, memperolokkan nama suruhanjaya. Saya hendak teruskan dengan....
Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sedikit sahaja Yang Berhormat, sedikit sahaja sambung daripada situ. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat
Permatang Pauh. Untuk berlaku adil kepada BPR saya pernah bertanya pada sumber yang sahih daripada dalam BPR kenapa kes-kes seperti yang disebut tadi tidak proceed. Dia kata kami telah selesai kes yang ini, kes yang ini, kes yang ini, dia sebut semua telah selesai, high profile case. Telah hantar ke Pejabat Peguam Negara, di situ kami tidak ada kuasa. Jadi apa agaknya pandangan daripada Yang Berhormat Permatang Pauh?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Saya bagi maklumat ini
maklumat baru tetapi kalau maklumat semasa saya Timbalan Perdana Menteri pun banyak
kerana BPR masa itu melapor sedikit sebanyak kepada saya selaku Pengerusi Jawatankuasa
Kabinet Mengenai Pengurusan. Pada masa itu beberapa laporan dikemukakan termasuk isu-isu
yang lebih besar, Perwaja dan lain-lain. Akan tetapi selagi bukan sahaja SPRM, yang ini saya
ingat peringatan Yang Berhormat Titiwangsa itu tepat kerana ada kemungkinan sekarang Badan
Pencegah Rasuah atau suruhanjaya telah mengemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.
Dan dengan Peguam Negara yang ada sekarang ini yang dipertikaikan kewibawaan
yang mempunyai rekod yang teruk, hendak harap ambil tindakan, mustahil.
Kebetulan Yang Berhormat Gua Musang baru sampai, saya cuma tadi bangkitkan tentang bukti ADUN Kulim bekerjasama dengan BPR, ambil CCTV tentang transaction cuba beli dan ugut tetapi sampai sekarang belum ada tindakan. Mungkin suruhanjaya gagal ataupun kerana keengganan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail untuk membuat sesuatu. Saya hendak sambung dengan kes kedua.
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Rasuah ini boleh sedikit?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya biar, biar saya sambung satu lagi
kes kemudian Yang Berhormat Pasir Salak bangkit. Kes bekas Exco Kedah Arumugan a/l
Vengataraku, Bukit Selambau yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri dan ADUN baru-baru ini. Kes yang dibesarkan dalam surat khabar hanya kerana dia ada
satu perkahwinan mengikut peraturan undang-undang sivil dan dia ceraikan isteri, belum selesai
penceraian, dia kahwin mengikut peraturan undang-undang Hindu. Ini dosa besar bagi UMNO
Kedah maka serang habis-habisan.
Akan tetapi saya hendak tambah sini tiga report polis dibuat oleh beliau, Ahli Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri buat report polis mengenai ugutan terhadap dirinya dan keselamatan diri dan keluarganya. Pada 1 April 2008, 8 Mac pilihan raya, 1 April pembantu khas kepada Arumugam membuat aduan polis nombor sekian bahawa beliau menerima panggilan telefon mengancam beliau dan Arumugam supaya jangan aktif dalam politik Parti Keadilan Rakyat.
Sekiranya ingkar akan berlaku perkara tidak baik seperti pembunuhan atau penembakan
terhadap Joe Fernandez ADUN Lunas yang mati ditembak beberapa tahun lalu. Laporan polis dibuat tidak ada tindakan. Ugutan terus 18 Oktober 2008, Yang Berhormat Arumugam buat aduan polis bahawa beliau bimbang keselamatan diri, keluarganya kerana dua lelaki datang mengugut untuk mendera beliau, isteri dan anak. 17 Disember, setelah bertemu saya di Permatang Pauh saya bagi nasihat, tidak ada upaya kita buat apa-apa melainkan you
buat laporan polis. Pada 17 Disember, laporan ketiga kerana bila ugutan kali ketiga disampai
kepada beliau, cermin keretanya dipecahkan oleh orang-orang tertentu. Batu Pahat kata, kita
tidak kata UMNO atau MIC tetapi laporan polis dibuat, siasat tidak ada siasatan. Sekalipun beliau tidak dipanggil.
Ini Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana mungkin kebetulan orang India dan ada
setengah-setengah tanggapan orang India ini memang kelas rendah di Malaysia ini. Sebab saya
harap MIC buat pendirian betul-betul kerana saya orang Melayu saya hendak pertahankan hak
rakyat dan jangan dipermainkan cara sedemikian. Jadi bagi orang macam Yang Berhormat
Arumugam yang akhirnya mengambil keputusan begitu dia bagi tahu saya dia bagi kes A. Kugan
dibunuh, kita tidak boleh buat apa-apa. Saya bagi tiga laporan tidak boleh buat apa-apa.
Tidak boleh dia kata, saya tidak boleh teruskan. Itulah sebabnya, saya katakan “Masalahnya Arumugam, kalau dia tidak boleh, kalau tiap-tiap hari you hidup dalam ketakutan,
saya terima hasrat you untuk meninggalkan politik sementara waktu”. Jadi sekarang ini saya
minta MIC jangan letak calonlah di Bukit Selambau, menjaga maruah orang India ini. Jadi untuk
Arumugam saya hendak tunjuk Tuan Yang di-Pertua, apa yang kita boleh buat di negara kita ini.
Tiga laporan polis, bukan, bukan saya hendak bezakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
penting kita kena dengar, orang kampung tidak penting. Akan tetapi hendak tunjukkan bagaimana kalau laporan itu melibatkan kedudukan UMNO dan Barisan Nasional tidak ada tindakan sama sekali. Ini yang membimbangkan kita seperti mana yang berlaku dalam kes Mahadzir Khalid di Kedah.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: [Bangun]
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya hendak sambung satu lagi di
Kedah sebelum bagi laluan kepada Yang Berhormat Machang. Kes ketiga di Kedah, Exco Yang
Berhormat Tan Wee Shu berulang kali diugut, dia marah, dipanggil dalam satu pertemuan
dengan Mahadzir Khalid, dia bagi amaran. You hendak bincang-bincang, you hendak masuk
dengan kita boleh, you jangan cuba beli kita dan ugut kita dalam perjumpaan ini. Dia kemudian
minggu berikutnya dia terima tiga butir peluru. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah bila dia terima tiga butir peluru, dia buat laporan polis. Sampai hari ini belum ada siasatan atau
laporan mengenai laporan ini.
Jadi maknanya pihak polis, atasan polis bersekongkol untuk membiarkan ugutan. Orang
diculik, isteri meraung, tidak dipedulikan kerana melibatkan kedudukan Timbalan Perdana
Menteri. Yang ini saya tidak percaya Tuan Yang di-Pertua, polis tidak akan mengambil tindakan
kerana polis tahap profesionalisme di peringkat daerah dan negeri itu banyak yang baik
melainkan dia tahu ada arahan dari atas jangan sentuh kerana kita ada rancangan besar untuk
menumbangkan Kerajaan Kedah seperti mana dilakukan terhadap Perak. Yang Berhormat
Machang.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Permatang Pauh. Apakah dalam kes bekas Yang Berhormat Bukit Selambau, Arumugam ini, Ahli Parlimen Permatang Pauh sedar bahawa di sana ada satu lagi laporan polis yang dibuat oleh beliau iaitu berkenaan dengan kes cubaan menculik beliau dan suspek ditahan oleh pihak polis. Yang Berhormat Arumugam dipanggil untuk kawad cam. Yang Berhormat Arumugam waktu itu mengesahkan itulah personaliti yang cuba menculik. Bukan tindakan yang diambil tetapi suspek itu dilepaskan sehinggalah Yang Berhormat
Arumugam ini melepaskan jawatan. Apa kalimah hendak kita simpulkan. Kalaulah tiga laporan terdahulu yang disebut oleh Permatang Pauh...
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kerajaan mafia, kerajaan mafia.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: ...Tidak dapat dikesan siapa yang
baling batu, siapa yang ugut pembantunya tetapi dalam kes cubaan culik ini beliau buat laporan
polis dan polis tangkap suspek, kawad cam dibuat, beliau sahkan, bukan itu didakwa tetapi
suspek dilepaskan. Majulah negara kita, Negaraku yang tercinta.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Machang
akan tetapi saya akui...
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Permatang Pauh, boleh
sedikit lagi...
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Akan tetapi saya masih akui negara
kita masih lebih baik daripada Zimbabwe. Tahap jenayah ini masih terkawal berbanding dengan
Zimbabwe. Akan tetapi, kalau keadaan begini berterusan tidak boleh kita pertahankan. Saya
memang diberi maklum oleh Yang Berhormat Arumugam tentang kes ini. Dalam tiga kes laporan itu, sekali kawat cam disahkan lepas, dakwaan itu lepas dan terus mengugut beliau.
Kemudian Menteri Besar Ustaz Azizan membantu dengan menyediakan seorang pegawai keselamatan. Dibayar oleh beliau, bantu kerana dia kata dia nampak Arumugam takut.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Boleh mohon penjelasan sedikit?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Jadi, Yang Berhormat Arumugam dibantu oleh Menteri Besar dengan pegawai keselamatan. Bayar, anak isteri diganggu lagi. Saya tidak lihat ahli-ahli kalau di kalangan wakil-wakil rakyat kita yang Melayu yang ditekan begitu rupa walaupun kadang-kadang cuba sogokkan seperti yang berlaku dalam dua Exco yang
saya sebutkan tadi.
Akan tetapi, kalau di kalangan Cina terutamanya India tekanan kepada mereka itu luar
biasa. Sebab itu saya hendak tekankan di sini dan negara kita ini mesti ada rules of law, jangan
law of the jungle. Jangan anggap sebahagian daripada rakyat kita itu kelas bawahan yang
boleh di permain-mainkan. Ini yang saya hendak ulang di sini kerana hendak harap buat
kenyataan di luar tidak akan disiarkan. Hendak harap Ketua Polis Negara ambil tindakan, saya
tidak yakin beliau akan buat begitu.
Namun, saya mintalah rakan-rakan Ahli Parlimen termasuk dari Barisan Nasional untuk
buat pendirian. Boleh beza pendapat dengan saya dalam banyak perkara tetapi jangan izinkan
jenayah berterusan. Kalau sudah pertikai sebelum ini, saya kemukakan bukti. Kalau sudah
pertikai laporan polis, saya kemukakan bukti kerjasama BPR. Ini sebahagian, ada lagi ADUN
Pulau Pinang saya tidak sebut, saya simpan setengah. Akan tetapi, saya bawa beberapa kes
hendak tengok ada tidak perubahan selepas ini. Yang Berhormat Batu Pahat.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ringkas sahaja. Terima kasih. Mana
satu Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Batu Pahat.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ya. Ringkas sahaja Yang Berhormat
Permatang Pauh iaitu saya membaca statement pembantu kepada ADUN Bukit Selambau ini
yang sudah meletak jawatan yang mengatakan bahawa dialah yang taja, bayar duit deposit dan
sebagainya. Dia mengatakan bahawa Adun Selambau ini sebenarnya meletak jawatan kerana dia
tidak berpuas hati dengan Kerajaan Negeri Kedah sekarang ini. Itu statement dia. Jadi, sebab
itu saya kata apabila banyak sangat cerita-cerita begini, mana satu yang kita hendak pakai?
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Jadi, itulah saya kata bahawa ini
membuktikan orang boleh buat sebanyak laporan, orang boleh kata apa-apa sahaja.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yang Berhormat Batu Pahat.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sebab itulah...
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: ...hendak menuduh apa yang dikatakan
oleh Yang Berhormat Permatang Pauh itu betul, maka itu saya kata saya ragu-ragu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Satu lagi perkara yang ingin saya katakan
di sini ialah ...
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya pun bukan di sini, bukan di sini
Yang Berhormat.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Jangan maksudnya apabila mengatakan
bahawa kita memandang rendah kepada orang India. Ini satu tuduhan yang melampau bagi
saya. Siapa yang kata bahawa orang India di Malaysia ini diberikan satu layanan kelas rendah?
Saya rasa tidak adil dengan tuduhan sedemikian.
Dato' Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Culik orang itu lah melampau.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Tanya orang India lah, jangan tanya
awak.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, terima kasih Yang
Berhormat Batu Pahat. Sudah boleh ambil orang-orang yang diupah oleh UMNO untuk jawab
buat kenyataan. Saya keluarkan ini laporan polis. Bukan orang upah di bawah. Saya keluarkan
bukti peluru yang dihantar kepada Exco. Saya keluarkan kenyataan CCTV oleh BPR. Soal
hendak pertikai itu, terserah pada saudara.
Kalau ini gambarannya, ini memalukan kita. Kalau sudah berbicara soal rules of law
sudah boleh berbeza pendapat. Saya berharap kalau boleh saya hendak teruskan. Yang
Berhormat Gombak lah akhir saya bagi.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh dan Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak minta pandangan Yang Berhormat Permatang Pauh kerana kebimbangan rakyat hari ini melihat perangai, watak dan budaya UMNO ini sudah meresap dalam institusi kerajaan. Kalau perangan denial sindrom yang ditunjukkan oleh Yang Berhormat Batu Pahat, saya faham kerana itu sahaja tahap yang boleh dipersembahkan dalam
Dewan Rakyat. Namun, saya bimbang sekarang ini Yang Berhormat Permatang Pauh perangai ini, watak ini telah menyerap.
Polis mempertikaikan laporan polis kita, mahkamah boleh mempertikaikan surat akuan bersumpah kita. SPR boleh mempertikaikan surat peletakan jawapan beberapa ADUN di negeri Perak. Malahan, peringkat awal saya dimaklumkan kematian di Bukit Gantang juga hampir-hampir dipertikaikan oleh SPR. Dia tidak tahu mati atau tidak, betul atau tidak.
Hendak jadi apa ini? Institusi kerajaan hari ini tidak boleh bertindak secara bebas dan
bertanggungjawab. Apatah lagi Peguam Negara, apatah lagi Ketua Polis Negara kerana mereka
belajar pada watak-watak seperti Yang Berhormat Batu Pahat ini. Jadi, saya minta pandangan
Yang Berhormat Permatang Pauh tentang perkara ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, terima kasih. Saya tidak
bermaksud untuk hendak yakinkan Yang Berhormat Batu Pahat. Jangan bimbanglah, mudah-
mudahan dia jadi Menteri. Akan tetapi, saya hendak sebut di sini kalau dia rujuk hanya kepada
kenyataan-kenyataan, banyak media UMNO akan bawa cerita, interview memang tidak betul
tetapi saya kata laporan ini ancaman kalau tidak di bunuh seperti mana dibunuh George
Fernandes.
Dia beritahu siapa yang telefon, rekod, siasatlah. Kemudian, laporan kedua orang ambil,
ugut-ugut tidak boleh juga. Dia kata tidak, ini hendak kena bawa ke Istana, Tuanku Sultan Kedah hendak jumpa kerana hendak bagi Datuk, hendak bincang. Jadi, dia tertanya-tanya itu, naik kereta dia telefon Menteri Besar. Menteri Besar kata bukan cara yang macam itu. Orang ini ugut dan disebut nama siapa, nama yang pergi itu, siasatlah.
Laporan ketiga sampai orang itu lari. Adalah simpati sedikit. Betullah dia itu India tetapi
kita ini simpati lah sedikit nasib orang ini. Siasat sahaja, saya tidak suruh tangkap orang lagi,
saya suruh siasat. Cuma kes seperti kes yang Lim Swee Nie dan BPR itu sampai dia ada CCTV,
nasiblah. Baik. Oleh yang demikian, saya pohonlah Tuan Yang di-Pertua kerana pencabulan
hak dan jenayah ini jangan dibenarkan berterusan terutama kalau keputusan itu diserahkan
kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara yang memang terlibat.
Dalam kes mereka berdua ini, saya tahu Suruhanjaya Anti Rasuah telah kemukakan
laporan untuk mendakwa Ketua Polis Negara dan Peguam Negara dalam kes menipu,
merekayasa, muslihat mereka yang kotor dan jijik semasa saya dipukul dahulu. Saya diminta
buat laporan, buat laporan. Sekarang siasatan dibuat tetapi tertahan di situ.
Oleh sebab itulah Ketua Polis Negara dan Peguam Negara mati-matian. Ini masalah dia
kalau nampak kita marah, dia takut. Saya kata ini tidak ada kena mengena soal agenda peribadi,
ini soal hukum. Kalau dia bertindak profesional, kita kata sudah. Saya sudah maafkan semua
tetapi jangan lakukan begini. Ada laporan, ada kepentingan politik maka ditahan. Saya hendak
sentuh dalam soal isu Perlembagaan.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]:Minta laluan sedikit YangBerhormat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ini kalau sekarang saya panjang, Tuan
Yang di-Pertua tegur kata saya panjang pula dan berapa kali Yang Berhormat Batu Pahat sindir
saya kata panjang sangat. Padahal dalam kes enam jam itu, usul ada, banyak hal-hal lain.
Dalam enam jam itu, satu jam diambil oleh Yang Berhormat Batu Pahat.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, sila Yang Berhormat Pasir
Salak.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua
dan Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya mintalah kepada Yang Berhormat supaya
janganlah kita membuat tuduhan-tuduhan kepada polis dan kerajaan kerana mereka
tidak ada di sini. Mereka tidak ada di sini untuk membela diri. Kalau ada aduan, ada bantahan,
sila kemukakan kepada pihak yang berkenaan, kepada polis itu sendiri.
Selain daripada itu, saya juga ingin tidak tahu saya hendak panggil nasihat atau pun
peringatan kepada Yang Berhormat saudara Permatang Pauh bersyukurlah kepada Allah SWT
kerana saya rasa Kerajaan Barisan Nasional pun berjasa. Kalau tidak, mungkin Yang Berhormat
tidak duduk di situ hari ini. Mungkin tidak duduk di situ. Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh
pihak-pihak peguam pun kita baca. Kita baca dan kita terima dengan baik sebab kita tidak mahu
mengeruhkan keadaan. Kita tidak mahu berlaku tidak adil dan menghina atau pun menindas
kepada sesama kita terutama kita dalam satu bangsa, satu agama.
Sebab saya pun kalau saya hendak cerita, macam-macam saya boleh cerita. Saya
boleh korek, macam-macam korek saya boleh buat. Akan tetapi saya tidak mahu kerana ini
bukan kerja kita sebagai pemimpin, terutama pemimpin daripada orang Melayu yang beragama
Islam. Saya mintalah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pasir Salak.
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Saya minta...
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya hendak minta Yang Berhormat bagi kat dia laporan polis. Dilampirkan gambar pistol, gambar peluru dan surat akuan. Tolong baca dan teliti, saya pun tidak larat hendak bercakap. Akan tetapi soalnya, Yang Berhormat Pasir Salak saya jelaskan. Polis berjasa banyak, polis yang berprofesional dan baik ramai. Bukan kenyataan melulu kita. Akan tetapi yang saya bangkitkan di sini, polis yang dihadapkan dalam kes jenayah dan rasuah di peringkat tertinggi pun ada. Siasat, kerana bagaimana kita hendak harapkan tahap profesionalisme polis, kalau pimpinannya itu terbabit dengan gengster, rasuah dan jenayah. Baik, ini suatu dakwaan. Buat siasatan dan ambil tindakan.
Yang Berhormat Ipoh Timur bangkitkan dalam sesi yang lalu, sampai sekarang tidak ada tindakan. Jadi, kalau hendak kata kita buat kenyataan melulu kepada semua. bersyukur, betul bersyukur. [Membaca sepotong ayat al-Quran] Allah memerintahkan kita bersyukur. Kalau orang yang tidak bersyukur itu akan menerima azab yang pedih. Syukur inilah yang kita kena bercakap benar. Syukurlah kita ada berani courage of conviction. Syukurlah supaya kita tidak nampak bersekongkol dengan penjenayah dan perasuah kerana tanda syukur kita.
Baik, saya hendak sambung dengan isu yang lain tentang Suruhanjaya Pilihan Raya
secara ringkas sahaja kerana ini tentang keputusan SPR kerana apabila Tan Sri Aziz dilantik
sebagai Pengerusi SPR, saya di antara orang dalam parti Pakatan Rakyat yang menyebut
bahawa saya kenal beliau yang mempunyai prestasi yang baik sebagai pegawai kerajaan. Akan
tetapi ternyata tekanan dalam sistem itu terlalu kuat bahkan, SPR pertikai keputusan dan
Speaker Dewan Negeri Perak.
Padahal kita tahu, sudah baca statute, peraturan dan undang-undang, kuasa Speaker
dan kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya. Walaupun perkara ini sekarang sedang dihadapkan di
mahkamah. Akan tetapi alasan SPR bahawa yang mempunyai kuasa di bawah seksyen 12(3)
Akta Pilihan raya 1958 untuk menentukan keabsahan kekosongan kerusi tersebut tidak
munasabah, tidak pernah berlaku sebelum ini. Akan tetapi, oleh kerana speaker itu Speaker
Pakatan Rakyat, boleh dipertikai.
Oleh yang demikian, saya mempersoalkan keputusan ini atas dua alasan. Pertama, sebagai sebuah badan dibentuk menurut Perlembagaan, SPR sepatutnya bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan perkara 113, fungsi SPR disebut dengan jelas. ‘...menjalankan pilihan raya, menyediakan daftar pemilik, menjalankan ulang kaji persepadanan’.
Yang kedua tugas sebenar SPR, menerima surat kekosongan kerusi hanyalah untuk
menetapkan tarikh kekosongan. Ini dalam Seksyen 12(3) Akta Pilihan raya 1958 menyebut, ‘...berkenaan dengan sesuatu kekosongan yang akan dipenuhi dengan sesuatu pilihan raya kecil, writ hendaklah dikeluarkan tidak dahulu daripada 10 hari dan tidak lewat daripada 30 hari dari tarikh kekosongan itu disahkan berlakulah Suruhanjaya Pilihan Raya.’ Pendirian yang sama turut dinyatakan secara terbuka oleh bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid ketika diwawancara oleh media tempatan. Akan tetapi Tan Sri Aziz dan SPR memilih dan kali ini menganjak pilihan raya supaya jangan bercanggah dengan pilihan raya UMNO. Inilah rekod bagi dua bulan kerana hendak sedia supaya jangan ada gangguan tentang peralihan kuasa seandainya jadi.
Saya ingin menyentuh sekarang ini tentang isu jenayah. Kita sentuh tadi isu Kugan dan semalam kematian enam orang India di Kulim membimbangkan. Pada pandangan saya, kewibawaan pimpinan negara kita termasuk di kalangan orang Melayu terutamanya itu mantap.
Apabila mereka dilihat sebagai adil kepada Melayu, bumiputera, Islam, adil kepada India
dan Cina. Sebaik ada persepsi yang meluas, apabila ini tidak dapat dilaksanakan, seluruh apa
yang disebut kompak sosial itu tercabar. Sebab itu saya ingin menyebut hal ini dan meminta
supaya perkara ini tidak diambil dan dipandang remeh oleh kerajaan. Bilangan kes jenayah
meningkat.
Kadar jenayah meningkat 16.4% pada tahun 2008 berbanding 2007. 173,565 kes
kepada 202,012 kes terutama Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes
jenayah harta benda, kecurian motosikal, kereta, rompakan, tak termasuk penculikan yang
dilapor dan tidak lapor, yang melibatkan kedudukan Timbalan Perdana Menteri. Peningkatan
kadar jenayah paling tinggi ialah jenayah perdagangan, 72% tahun 2008 berbanding 2007.
Jenayah siber, pemalsuan kad kredit, wang palsu, cetak rompak, penipuan. Jenayah kekerasan, samun berkawan bersenjata api yang meningkat 202% dari 638 kepada 1,926 kes. Samun berkawan tanpa bersenjata api meningkat 134%. Kes rogol 2,452, meningkat 2,961, peningkatan 61%. Indeks kejadian jenayah setiap hari dianggarkan berlaku 8.11, kejadian rogol setiap hari pada tahun 2008 berbanding 6.72 kejadian setiap hari tahun 2007 dan berikutnya.
Ketua Polis Negara yang menjadi teraju kepada pasukan harus mengambil tanggungjawab terhadap kelemahan dan penguatkuasaan. Ini sudah berulang kali dibangkitkan, tetapi tidak ada tindakan yang sewajarnya. Masalah jenayah harus ditangani kerana ia melibatkan juga iklim ekonomi yang harus lebih baik di negara kita. Orang-orang yang tidak dikaitkan dengan jenayah yang ditahan selepas itu dibebaskan termasuk yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri baik dituduh dikaitkan dengan Jemaah Islamiah yang sudah menjangkau enam tujuh tahun ataupun pemimpin-pemimpin HINDRAF yang terus ditahan tanpa bicara.
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, Padang Serai
bangun Yang Berhormat.
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang
Pauh. Kadar indeks jenayah yang disebut Permatang Pauh tadi amat merunsingkan. Malam tadi
enam orang pemuda India ditembak mati di Kulim dan mereka semua dikatakan keluar dari
rumah dengan mengangkat tangan kerana diminta oleh polis untuk keluar. Akan tetapi apa yang
berlaku adalah Ketua Siasatan Jenayah Bukit Aman meminta supaya kita yang memberi press
statement mengenai pembunuhan-pembunuhan itu mahu soal siasat kita. Jadi saya risau kerana
Yang Berhormat Permatang Pauh tadi telah membawa ke hadapan Parlimen ini jenayah-jenayah yang dilakukan oleh UMNO.
Apabila ada pembunuhan oleh polis ini, mungkin kah polis ini melakukan jenayah-
jenayah ini untuk menutup sangkut-paut mereka atau kemungkinan mereka juga terlibat dalam
jenayah-jenayah. Pimpinan UMNO mendiamkan diri, tidak mahu menyoal mereka dan saya
khuatir bahawa beberapa pegawai polis tertinggi juga terlibat secara meluas dalam jenayah-
jenayah gengsterism atau sebagainya kerana tidak mahu membawa mereka-mereka yang
terlibat dalam jenayah ke muka pengadilan, kerana kalau pergi ke muka pengadilan dan dibawa
ke mahkamah, akan terbongkar penglibatan mereka.
Sebab itu mereka menggunakan jalan pintas dengan pergi menyerbu gengster-gengster
dan tembak mati terus supaya maklumat-maklumat yang seharusnya keluar apabila di
mahkamah. Mungkinkah ini di antara gejala yang sedang berlaku di negara ini dan didalangi
oleh beberapa pimpinan polis yang jahat. Ini pandangan saya dan minta pandangan Yang
Berhormat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya tidak dapat
buat andaian dalam kes terbaru kerana kita masih mengumpulkan maklumat. Cuma yang
membimbangkan ialah cara mereka terus ditembak mati keenam-enamnya dan saya harap ada
satu siasatan yang teliti oleh polis yang berkenaan dan tidak menutup atau cuba menghilangkan
atau memadamkan fakta. Yang saya boleh kait ialah pengalaman kita dalam kes A. Kugan
kerana kes itu telah diteliti dan dibahaskan, jadi kita mempunyai maklumat yang lebih terperinci
yang tentunya membimbangkan orang ramai.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin beralih secara ringkas sahaja beberapa isu lain
termasuk apa yang saya tekankan tentang mata pelajaran Sains dan Matematik tetapi yang telah disentuh oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dan saya percaya akan disentuh oleh yang lain dan saya tidak bermaksud untuk mengulang. Saya hanya sentuh di peringkat akhir ini hanya soal ekonomi secara ringkas kerana saya sedar akan dibahaskan setelah 10 Mac nanti. Dalam membahaskan isu belanjawan yang lalu kita bangun dan berhempas pulas menyatakan pembentangan pakej yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan, pertama tidak mengikut peraturan, kedua terlalu kecil kerana 1% daripada KDNK, tetapi kita hanya ditempelak,
diketepikan.
Hari ini saya kebetulan pada tengah hari tadi berucap di Kuala Lumpur, Bankers Club Luncheon address dan saya sebut inilah negara di antara yang paling akhir yang menyebut soal pakej penyelamat dan stimulus berbanding dengan semua negara di dunia. Kerana apa? Kerana terlalu angkuh dan sombong dan sibuk dalam urusan lain.
Saudara, ekonomi kita dalam keadaan yang sangat gawat. Singapura mengambil langkah-langkah hampir tiap minggu untuk memangkinkan pertumbuhan ekonomi. Kita tahu apa
yang dilakukan sebagai langkah pertama Presiden Barack Hussein Obama di Amerika Syarikat
untuk mendapatkan kerjasama kedua-dua parti, by partisan untuk menyelamatkan ekonomi
Amerika dan menjana pertumbuhan, tetapi di Malaysia enam bulan masih dalam penafian dan
kini baru hendak buat dan tentunya Ahli-ahli Yang Berhormat dari UMNO, terutamanya dari MCA,GERAKAN, MIC itu nampak tidak berapa bermaya sekarang ini, jadi mereka bangun
mengatakan, “Ha, inilah satu pakej baru yang kita hendak cadangkan. Saudara, kita cadangkan
sejak bulan Oktober, bahas itu. Kita kata bawa pakej baru, bawa belanjawan baru, tambah
stimulus, tidak boleh diangkat ekonomi dan selesaikan dalam keadaan sekarang.
Jadi tunggu mini budget, baru hendak bahas dan kita akan bahaskan.
Cuma saya hendak sebut di sini baru pertama kali setelah enam bulan Menteri Kewangan menyatakan angka pertumbuhan 3% itu tidak mungkin tercapai. Paling lambat sekali di Malaysia ini. Tanya pakar ekonomi mana pun, tidak boleh capai tetapi inilah Menteri Kewangan paling lambat untuk menerima kenyataan ini. Kalau begini, bagaimana kita hendak kemudi bahtera ekonomi negara kita ini kalau menterinya gagal.
Patut Menteri itu ke depan yang mendedahkan, memberikan maklumat, kemudian memberi rangsangan, menambah keyakinan, membantu syarikat kecil, sederhana dan menjana pertumbuhan ekonomi dan berikan stimulus package yang lebih bermakna tetapi ini tidak berlaku.
Kenyataan-kenyataan dalam isu pekerja, kita masih terikat dengan angka tahun 70-an.
Penganggur maknanya orang yang tidak bekerja dan lapor kepada Jabatan Buruh atau Sumber
Manusia. Ini angka tahun 70-an, tidak ada negara di dunia sudah pakai itu sekarang ini tetapi
Malaysia masih. Bila saya tanya Menteri, dia kata, “Ya, ini sahaja yang dilapor.” Betullah, tetapi
kalau kita hendak tahu, hendak jana pertumbuhan ekonomi negara dan masalah pengangguran
yang lapor, tidak lapor, yang menganggur, unemployed, underemployed, itu masih direkodkan,
tetapi kalau ini pun belum berlaku, saya harap susah.
Yang berlaku apa dia? Propping up shares, ValueCap tidak melaporkan kepada EPF
mana-mana saham yang akan dibeli walaupun KWSP memberi pinjaman RM5 bilion. Dia lapor
terus kepada Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan tentunya akan memilih beberapa
syarikat termasuk bluechip dan saham-saham bermodal sederhana untuk tentunya menjana
pertumbuhan, memberi keyakinan, terutama menjelang pemilihan di Perhimpunan Agong UMNO ataupun sebaik beliau mengambil alih, maka syer-syer itu meningkat.
Ini kesalahan dilakukan dahulu harus diperbaiki. Kerajaan perlu ingat juga bahawa RM5
bilion itu kepunyaan rakyat yang rata-rata pendapatan sederhana, pegawai kerajaan dan yang
miskin dan tidak boleh digunakan untuk muslihat politik sempit. Khazanah Nasional Berhad
mengalami kerugian tidak kurang daripada RM18 bilion pada tahun 2008. Tidak ada perbahasan sama sekali dalam negara. Saya tidak katakan semua ini sebab salah laku, penyelewengan, rasuah tetapi semua negara bila catat kerugian ini, dia ajak masyarakat untuk bahaskan.
Benarkah sebab kemelesetan ekonomi dampak dari ekonomi antarabangsa ataupun
permasalahan-permasalahan yang lain. Di negara kita semuanya ditutup. Adakah Khazanah berupaya membayar bon-bon yang akan matang dalam masa terdekat? Ataupun memusing semula atau roll over bon-bon dan terpaksa membayar hasil atau yield, kadar hasil lebih tingi kerana risiko semakin meningkat dan ini Ahli Yang Berhormat Bandar Tun Razak lebih pakar daripada saya. Jadi saya serah kepada dia untuk sambung kemudian.
Sebab itu kenyataan yg terbaru mendapat yang kita dengar bahawa Perdana Menteri
menggesa supaya kelulusan yang lalu dilaksanakan segera. Itu menunjukkan kurang upaya kita
melihat keadaan ekonomi sebagai sesuatu yang begitu mendesak sekali. Jadi Yang Berhormat
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan ini selain daripada menjunjung kasih ke
atas titah Tuanku, Yang di-Pertuan Agong juga menyebut beberapa perkara terutama dalam isu
Perlembagaan, pengurusan kerajaan dan governance ini, diambil berat betul-betul.
Apa yang saya dedahkan dalam soal penculikan, ugutan dan rasuah, terutama yang
melibatkan wakil-wakil rakyat. Itu perkara yang serius dan kali pertama kita dedahkan dengan
bukti dan faktanya dedahkan dalam soal penculikan, ugutan dan rasuah, terutama yang
melibatkan wakil-wakil rakyat. Itu perkara yang serius dan kali pertama kita dedahkan dengan
bukti dan faktanya sekali. Saya harap walaupun kita berbeza pendapat dalam banyak hal, soal
memperkukuh keyakinan rakyat kepada institusi penting itu harus dimulakan dari sekarang.
Terima kasih
Wednesday, 12 August 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment